Nasional

KKM mohon 1,899 petugas tambahan kontrak

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) bergelut dengan kekurangan kakitangan sehingga memerlukan tambahan kakitangan bagi melawan pandemik Koronavirus (Covid-19).

Langkah tambahan kakitangan itu juga adalah bagi menampung kakitangan sedia ada yang diletakkan dalam mobilisasi.

Mobilisasi kakitangan dilapor adalah diperlukan bagi menampung kekurangan tenaga sumber manusia ekoran terdapat petugas yang diarahkan menjalani kuarantin.

Susulan itu, kakitangan KKM kini dilihat berada pada tahap kritikal untuk merawat pesakit Covid-19 di seluruh negara.

“Di peringkat KKM, antara langkah awal yang telah diambil adalah mobilisasi petugas kesihatan sedia ada dari negeri dan fasiliti kesihatan tertentu.

“Bagi membantu negeri atau fasiliti kesihatan yang memerlukan tambahan sumber manusia kesihatan.

“Namun, selaras dengan perkembangan semasa, tambahan seterusnya diperlukan bagi petugas kesihatan.

“Oleh demikian, KKM mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF), untuk melantik secara kontrak sejumlah 1,899 petugas kesihatan lagi.

“Ia bagi tujuan menyokong perkhidmatan kesihatan dalam tempoh penularan wabak Covid-19.

“Antara petugas kesihatan sokongan tambahan yang dipohon adalah Pegawai Penyelidik, Jururawat, Penolong Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Juruteknologi Makmal Perubatan dan Pembantu Tadbir (Perkeranian/ Operasi dan Kewangan).”

Demikian kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dalam satu kenyataannya hari ini.

Tambah beliau, permohonan tambahan kakitangan itu adalah selaras dengan peruntukan tambahan oleh kerajaan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin.

Justeru kakitangan tambahan itu akan ditempatkan di pelbagai jabatan dan bahagian berkaitan di seluruh negara.

“Permohonan telah dikemukakan pada 9 Oktober selaras dengan persetujuan kerajaan agar KKM dipertimbangkan untuk menambah petugas kesihatan kepada sejumlah 2,000 lantikan secara kontrak.

“Seperti yang telah diluluskan oleh kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin sebelum ini.

“Petugas kesihatan ini akan ditempatkan di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara dan ditugaskan di Pintu-pintu Masuk Antarabangsa Negara.

“Seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur agar urusan keluar dan masuk di Pintu-pintu Masuk Antarabangsa dapat diuruskan dengan lebih lancar dan berkesan,” jelasnya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan jumlah jangkitan Covid-19 meningkat sehingga 561 kes baharu.

Jumlah tersebut dilapor semakin membimbangkan, bagaimanapun beliau yakin angka tersebut masih dalam kawalan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button