Nasional

Anwar Ibrahim dipanggil ke Bukit Aman

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipanggil ke Ibu pejabat Polis Bukit Aman untuk membantu siasatan kes penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed berkata, Anwar sepatutnya hadir memberi keterangan hari ini pada pukul 11 pagi.

“Namun, setiausaha sulit Anwar berkata pemimpin itu hanya dapat hadir pada esok kira-kira pukul 9 pagi.

“Justeri, kita telah menangguhkan janji temu itu ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Huzir, dia mengesahkan bahawa satu siasatan telah dijalankan ke atas kes penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelasnya, siasatan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada Ahli Parlimen Jerantut, Pahang pada 8 Oktober lalu.

“Sehingga hari ini, sebanyak enam laporan polis telah diterima dan kita masih lagi menjalankan siasatan lanjut berkenaan dakwaan yang tersebar luas,” katanya.

Ujarnya lagi, pihaknya menegaskan kepada orang ramai supaya tidak gusar dengan penyebaran berita tersebut dan menasihatkan semu apihak yang berkepentingan supaya tidak menyebarkan berita yang belum pasti kesahihannya.

Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris sebelum ini membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa menyenarai nama beliau dalam barisan Ahli Parlimen yang akan menyokong Presiden PKR membentuk kerajaan baharu.

Ahmad Nazlan yang juga Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) membuat laporan itu di Balai Polis Jerantut pada 8 Oktober lalu.

Katanya, dakwaan itu satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan tidak berasas sama sekali, kerana Anwar atau wakilnya tidak pernah berjumpa beliau membincangkan perkara itu.

Beliau menafikan pernah menanda tangani sebarang Akuan Bersumpah (SD) menyokong Anwar atau rancangan menubuhkan kerajaan baharu.

“Jika dia mendakwa saya menyokong beliau, itu satu pembohongan besar. Saya berdiri teguh dan menyokong penuh kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tidak akan berpaling tadah,” katanya. -SM

(Visited 306 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button