Nasionalpilihan

Tuduhan Dr Musa Nordin tidak berasas, KKM buat laporan polis

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat laporan polis terhadap seorang pegamal perubatan swasta, Dr. Musa Nordin kerana menuduh berkenaan isu sogokan dalam proses perolehan vaksin Covid-19.

KKM dalam kenyataannya berkata, Dr Musa telah mendakwa bahawa JKJAV tidak membuat peroleh vaksin jenis Moderna dan NPRA tidak mendaftarkan vaksin berkenaan kerana tidak diberikan sogokan yang mencukupi.

“Perkara itu dibangkitkan Dr. Musa dalam satu sesi temu bual di saluran Astro Awani yang kemudian telah dilaporkan dalam sebuah portal berita pada 3 Ogos lalu.

“Kita menafikan dakwaan tidak berasas yang dibangkitkan Dr. Musa. Sebagai rekod, perbincangan bagi perolehan vaksin jenis Moderna telah diadakan oleh KKM dengan syarikat pengeluar vaksin ini iaitu ModernaTX Inc. pada penghujung tahun 2020,” katanya.

Menurut KKM, pada 6 Disember 2020, ModernaTX Inc. telah membuat tawaran rasmi vaksin kepada KKM sebanyak 10% daripada populasi Malaysia dan penghantaran bermula pada suku tahun ke-3 hingga suku tahun ke-4 tahun 2021.

Jelasnya, cadangan tawaran ModernaTX Inc. telah dibawa untuk pertimbangan JKJAV yang berpendapat tawaran tersebut boleh dipertimbangkan.

“Walau bagaimanapun, memandangkan penghantaran vaksin hanya dapat dibuat pada suku tahun ke-3 2021, maka JKJAV telah membuat keputusan perolehan perlu dibuat segera dengan pengeluar-pengeluar lain yang dapat membekalkan vaksin COVID-19 lebih awal bagi mempercepatkan
pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Pihak ModernaTX turut diminta untuk mengemukakan permohonan pendaftaran vaksin kepada NPRA. Berdasarkan semakan dan rekod, pandaftaran vaksin Moderna hanya dikemukakan kepada NPRA pada bulan Julai 2021 melalui syarikat yang dilantik oleh ModernaTX Inc,” katanya.

Ujarnya, NPRA juga sedang melaksanakan penilaian secara laluan khas dan akan dibentangkan dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dalam masa terdekat.

Tambahnya, memandangkan Kerajaan telahpun mempunyai portfolio dan jumlah dos yang mencukupi untuk vaksinasi populasi di Malaysia, satu keputusan keperluan vaksin berkenaan aka dibuat sebaik sahaja vaksin tersebut diluluskan pendaftarannya oleh NPRA, termasuklah penggunaannya sebagai dos penggalak (booster shot) atau secara heterologi. -SM

(Visited 736 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button