Nasional

Hospital Melaka bertukar status hospital daerah

KERAJAAN negeri Melaka bakal mencadangkan pembinaan hospital besar baharu Melaka di Durian Tunggal, Alor Gajah dekat sini
menjelang 2030.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, satu kawasan seluas 24.28 hektar berpotensi untuk dijadikan tapak hospital baharu yang dicadangkan itu.

Menurutnya, sekiranya cadangan itu diluluskan, Hospital Melaka sedia ada bakal ditukar status menjadi hospital daerah.

“Setakat ini, Melaka Tengah belum ada hospital daerah seperti di Alor Gajah dan Jasin dan jika hospital baharu yang dicadangkan menjadi kenyataan di Durian Tunggal, justeru Hospital Melaka akan dikenali sebagai Hospital Daerah Melaka Tengah.

“Buat masa ini soal Kos pembinaan belum diputuskan buat masa ini dan kita jangkakan hospital ini akan mempunyai sebanyak 600 katil.

“Cadangan ini melibatkan peruntukan yang besar dan perincian lebih teliti diperlukan daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Kementerian Kewangan.

“Jangka masa untuk diluluskan menjelang 2030 dan mengambil masa lima atau enam tahun untuk siap,” katanya dalam sidang akhbar pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka di sini, hari ini.

Mengenai kesesakan parkir di Hospital Melaka, Muhamad Akmal berkata, kerajaan negeri mencadangkan pusat sehenti diwujudkan di Bukit Serindit dan Taman 1 Lagenda.

Katanya, Hospital Melaka dan JKN akan bekerjasama dengan Panorama Melaka serta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bagi mencari kaedah terbaik untuk melaksanakan rancangan tersebut.

Menurutnya, kawasan Bukit Serindit mempunyai kapasiti 500 parkir sementara Taman 1 Lagenda memiliki 1,600 parkir.

“Pelawat boleh meletakkan kenderaan mereka di dua kawasan tersebut dan bas khas akan disediakan untuk membawa mereka ke hospital dengan cadangan kekerapan perjalanan lima minit,” ujarnya. – SM MELAKA

(Visited 635 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button