Hiburan

‘Mat Kilau’ berjaya raih RM90 juta selepas 33 hari tayangan

FILEM biografi epik “Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan” yang telah mencipta fenomena luar biasa, telah meraih RM90 juta jualan tiket selepas 33 hari tayangan di seluruh negara, Singapura dan Brunei.

Pengarahnya Mohd Syamsul Mohd Yusof atau lebih dikenali sebagai Syamsul Yusof berkata, filem itu menjadi filem dengan kutipan tertinggi di Malaysia dalam kategori tempatan dan antarabangsa selepas “Munafik 2” dan “Avengers: End Game”.

“Air mata syukur… tiada kata melainkan Alhamdulillah. Saya dan seluruh team amat terharu. Terima kasih penonton masih terus memberi kepercayan pada karya kali ini dan kesemua filem saya sebelumnya. Sejak dar filem pertama hingga sekarang. Insya Allah, semoga terus diberi ilham untuk filem yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan pada ini.

Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-57 itu juga berkata, filem Mat Kilau juga menjadi filem nombor satu dalam carta box office mingguan negara selama lima minggu berturut-turut, sekali gus mengatasi filem besar Hollywood.


“Telah terbukti beberapa kali, karya filem Melayu masih boleh berdiri di bumi sendiri. Ini harapan baharu sinema tempatan dan buat semua ank seni tanah air. Ayuh semua pengkarya filem, ayuh bersatu demi kita sama-sama memajukan industri seni Malaysia,” katanya.

Sejak mula ditayangkan pada 23 Jun lalu, filem yang diilhamkan oleh sejarah benar Malaysia itu berjaya menjadi antara perbualan utama di media sosial, selain membangkitkan semangat patriotisme dengan ramai orang berbusana tradisi Melayu ketika mereka datang ke pawagam untuk menontonnya.

Filem yang menelan belanja RM8 juta itu dibarisi ramai pelakon hebat antaranya Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Wan Hanafi Su, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Mubarak Majid, Shaharuddin Thamby, Namron, A. Galak, Ellie Suriaty, Khir Rahman, dan Yayan Ruhian, seorang pelakon Indonesia yang telah mencipta nama di Hollywood.

Artikel berkaitan > Tak perlu guna pelakon wanita seksi, Mat Kilau bangkit dengan cara tersendiri!

(Visited 55 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button