Politik

Kit Siang hanya pandai cakap, buat tuduhan

VETERAN DAP, Lim Kit Siang yang masih menjadi Ahli Parlimen sejak 1969 itu dibidas sebagai sekadar mampu bercakap dan membuat tuduhan kepada pihak tertentu.

Namun, apabila menyebut tentang janjinya yang sering dimungkiri, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dilihat membisu terutama berkaitan tuduhan rasuah terhadap anaknya, Lim Guan Eng.

Malah, setiap tuduhan beliau dalam hantara Facebooknya sendiri pula menerima kritikan dan makian daripada ratusan ribu rakyat atas keengganan meminta maaf selepas kenyataannya terbukti salah banyak kali.

Malah, apabila merujuk kepada janjinya untuk meninggalkan dunia politik jika bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad enggan menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau dikatakan mudah melupakannya.

“Beliau masih buat tak tahu sehingga kini walaupun petisyen untuk beliau tunaikan janji ini sudah cecah 57,000 orang yang menyokong,” katanya, dengan menambah bahawa ia boleh dilihat di laman tinyurl.com/unclebersara.


“Tidak pula beliau suruh anaknya letak jawatan atau rehat untuk menghadapi kes rasuah mahkamah.

“Kit Siang senyap apabila perbicaraan mahkamah rasuah banglo anaknya digugurkan separuh jalan setelah peguam anaknya dilantik sebagai peguam negara.

“Tak ada pula Kit Siang kata ini menghina proses perundangan negara. (Jadi, adakah) Kit Siang sangat berintegriti?”

Demikian kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak bekas penasihat DAP itu dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.

Dalam kenyataan sama, beliau juga menempelak Kit Siang berhubung dakwaan mempunyai bukti ‘pendrive’ mengenai kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Mendiang Kevin Morais yang dikaitkannya dengan Najib Razak.

NAJIB RAZAK

Bagaimanapun, apabila Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan dan Tan Sri Tommy Thomas dilantik sebagai Peguam Negara, Kit Siang dilihat membisu terhadap isu tersebut.

“Bila saya suruh beliau beri ‘pendrive’, beliau membisu. Lalu beliau kata tak pernah tuduh saya pernah bunuh sesiapa pula termasuk Teoh Beng Hock, Altantuya dan Kevin,” katanya dengan merujuk kepada tiga kes pembunuhan berpofil tinggi itu.

Selain itu, Kit Siang juga pernah mendakwa Dr. Mahathir menjadi punca kepada kerugian sebanyak RM33 juta oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam tukaran asing.

Dakwaan itu dibuat ketika beliau menjadi Ketua Pembangkang dan Dr. Mahathir pula sebagai Perdana Menteri Ke-4.

Bagaimanapun, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14, beliau dengan senyuman menerima Dr. Mahathir sebagai rakan seperjuangan dan merestuinya menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

“Tapi (beliau) membisu pula bila kerajaan Mahathir tarik balik laporan polis hasil siasatan rasmi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) skandal BNM.

“Ia kemudian klasifikasi kes sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) pada tahun lalu (sewaktu PH masih merupakan kerajaan persekutuan).

“Tiada seorang pun pernah bertanggungjawab atau pernah didakwa walaupun negara sudah lesap RM33 bilion tetapi Uncle okay sahaja asalkan anaknya (kekal sebagai) menteri kewangan ketika kerajaan Mahathir tarik balik laporan polis,” sindirnya.

Malah, baru-baru ini juga Kit Siang hanya memberi alasan apabila diajak bertemu oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berhubung dakwaan perbelanjaan membeli vaksin Koronavirus (Covid-19).

Sebelum ini, Kit Siang mendakwa pembelian vaksin berkenaan dibayar pada harga 20 kali lebih tinggi daripada kos sebenarnya.

“Setelah beliau dibuktikan amat salah, beliau membisu pula. Tak pohon maaf dan tak mahu mengaku,” tempelaknya. – SM

(Visited 437 times, 1 visits today)

Show More

Berita

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button