Politik

Biar kalah, daripada menang bacul

AKAR umbi UMNO kini semakin mendesak supaya parti itu bertanding secara solo pada pilihan raya negeri Melaka bulan hadapan.

Mereka sanggup kalah di Melaka daripada menang dengan cara bacul iaitu memberi kerusi kepada Bersatu dan pemimpin UMNO yang mengkhianati parti itu dengan melompat ke parti lain.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Isham Jalil berkata, ahli UMNO yang setia dengan parti mahukan kerjasama yang lebih ikhlas ditunjukkan oleh Bersatu dan Pas.

Isham yakin jika UMNO bertanding secara solo lebih banyak kerusi akan dimenangi parti itu iaitu 17 hingga 19 kerusi.

Ini bermakna UMNO akan menjadi kerajaan negeri yang kukuh kerana Melaka mempunyai 28 kerusi.

Jika UMNO bekerjasama dengan Bersatu akar umbi parti akan memberontak kerana parti serpihan UMNO itu telah berkali-kali mensabotaj UMNO dengan pelbagai cara.

Apabila akar umbi UMNO memberontak, kemungkinan mereka tidak keluar mengundi dan berkempen adalah tinggi dan ini akan menyebabkan parti itu akan kalah banyak kerusi.

Jika Bersatu dan Pas mahu bekerjasama kedua-dua parti itu perlu menerima hakikat hanya beberapa kerusi saja akan diberikan atau mungkin tiada kerusi langsung, tetapi mereka membantu jentera Barisan Nasional (BN).

Dengan cara itu undi Melayu tidak akan berpecah dan memberi kemenangan yang lebih kukuh.

Isham juga akur bahawa semua parti tidak lagi boleh terlampau berpegang kepada prinsip kerusi tradisi, tetapi perlu kajian data dan sentimen pengundi kerana ia sentiasa dinamik.

Beliau juga yakin pilihan raya negeri sangat penting untuk semua pihak terutama UMNO kerana ia bakal menentukan masa hadapan parti itu.

Artikel ini dipetik dari program diskusi Sembang Panas Jangan Koyak terbitan Suara Merdeka.

 

(Visited 486 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button