Hiburan

Kelas Percuma #SayaDigital MDEC Bantu PKS

PENGHASILAN kandungan digital yang berkualiti bukan lagi sesuatu mahal dan sukar dilakukan khususnya  kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam membantu mereka menghasilkan bahan promosi yang berkesan di pasaran.

PKS kini boleh menghasilkan kandungan digital seperti gambar produk yang berkualiti setara dengan jurukamera profesional tanpa mengeluarkan modal yang besar, iaitu dengan hanya menggunakan telefon pintar masing-masing.

Bagi membantu PKS memperoleh pengetahuan dan teknik bernilai berkenaan, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), telah menganjurkan kelas maya percuma bertajuk “Ambil dan Sunting
Gambar Menerusi Telefon Pintar” menerusi Kelas Mingguan #SayaDigital di Facebook.

Menerusi kelas berkenaan, orang ramai telah didedahkan berkenaan teknik yang betul dalam mengambil dan menyunting gambar menerusi telefon pintar serta menggunakan aplikasi penyuntingan percuma yang terdapat di pasaran.

Teknik ini telah dikongsi oleh jurukamera mudah alih berpengalaman, Munzir Rahim. Beliau menjelaskan, tidak semua orang mempunyai kemampuan untuk memiliki kelengkapan kamera berkualiti khususnya usahawan kecil yang menjalankan perniagaan menerusi media sosial.

“Disebabkan kekangan berkenaan, saya telah mengambil inisiatif untuk menerokai teknik mengambil dan menyunting gambar dengan hanya menggunakan telefon pintar. Fokusnya adalah untuk memanfaatkan segala fungsi teknikal yang ada di kamera telefon pintar dan aplikasi suntingan gambar percuma.

“Kelas percuma yang dianjurkan oleh MDEC ini merupakan satu inisiatif yang cukup baik untuk membantu orang ramai khususnya PKS yang mahu belajar teknik ini bagi membantu meningkatkan semula perniagaan mereka yang telah terkesan teruk akibat pandemik sebelum ini,” kata Munzir.

Semasa sesi berkenaan, antara perkara yang disentuh oleh Munzir merangkumi persediaan sebelum melakukan penggambaran seperti tetapan kamera dan aplikasi suntingan, peralatan asas yang diperlukan serta beberapa kesilapan yang sering dilakukan orang ramai.

Selepas menguasai kemahiran mengambil gambar, sesi berkenaan juga menawarkan tutorial menyunting gambar menerusi penggunaan aplikasi percuma dan mudah digunakan oleh sesiapa sahaja seperti Snapseed dan Canva.

Penonton diajar tentang asas dan langkah-langkah suntingan gambar serta turut didedahkan tentang setiap fungsi yang terdapat dalam aplikasi berkenaan yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya.

Walaupun aplikasi ini percuma, kualiti gambar yang dihasilkan sangat baik dan memberi kebebasan kepada pengguna untuk menggunakan kreativiti mereka dalam suntingan selain turut menyediakan templat yang boleh dijadikan asas.

“Untuk menggunakan jurugambar atau penyunting profesional kosnya pasti tinggi, oleh itu penggunaan aplikasi seperti ini telah menjadi satu keperluan bagi PKS dan juga freelancer yang baru menceburi bidang perniagaan atau berdepan dengan kekangan modal,” kata Munzir.

PKS perlu proaktif dalam menimba pengetahuan dan kemahiran digital sama ada secara formal atau pun menerusi pelbagai saluran percuma seperti yang ditawarkan dalam Kelas Mingguan #SayaDigital anjuran MDEC, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia iaitu untuk memulihkan dan meningkatkan ekonomi rakyat secara inklusif.

Kelas mingguan #SayaDigital merupakan salah satu inisiatif di bawah Gerakan #SayaDigital yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran digital rakyat Malaysia dalam usaha menerokai ekonomi digital selain mewujudkan kesedaran dalam teknologi digital, gaya hidup pintar dan peluang sama rata kepada rakyat.

Gerakan #SayaDigital juga berperanan meningkatkan tahap kesediaan rakyat dalam penggunaan dan penguasaan teknologi digital di dalam kehidupan harian dan operasi perniagaan mereka

menerusi pelbagai inisiatif digital di bawahnya. Bagi menonton video penuh sesi perkongsian teknik ambil dan sunting gambar menggunakan telefon pintar dan pelbagai lagi sesi Kelas Mingguan #SayaDigital, layari Facebook MDEC di https://www.facebook.com/MyMDEC dan pelbagai inisiatif khusus untuk PKS di bawah Gerakan #SayaDigital di https://mdec.my/.

(Visited 143 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button