Parlimen

Kaitkan penamatan pas PLKS dengan isu perkauman satu dakwaan biadab

Keputusan kerajaan untuk menamatkan pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi tiga sub-sektor perkhidmatan iaitu tekstil, tukang gunting dan tukang emas pada Jun ini, adalah berdasarkan pertimbangan ekonomi dan tidak membabitkan unsur-unsur kaum.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, keputusan itu juga telah dilakukan hasil daripada maklum balas pihak pemain industri.

“Kebanyakan penggajian pekerja asing itu dalam sektor itu adalah untuk menjadi jurujual atau pembantu jualan dan ini tidak termasuk dalam sektor 3D (kotor, bahaya, payah) yang kita terima sebagai dasar awal untuk membenarkan pekerja asing, kerana orang tempatan kurang berminat,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di Dewan Negara di sini hari ini.

Saifuddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaaan Datuk Sivaraj Chandran yang ingin tahu rasional kerajaan berhubung keputusan penamatan pas PLKS terhadap ketiga-tiga sub-sektor itu.

Beliau berkata, hasil kajian oleh kerajaan turut mendapati, kemasukan pekerja asing bagi ketiga-tiga sub-sektor berkenaan mampu menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan.

“…permintaan terhadap sub-sektor berkenaan juga secara relatifnya rendah berbanding perkilangan, pembuatan, perladangan pertanian atau perkhidmatan,” katanya.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi pekerja asing untuk tiga subsektor iaitu tekstil, tukang gunting dan tukang emas, dilanjutkan selama tiga bulan lagi sehingga 15 Jun ini.

Penggajian pekerja asing bagi sub perkhidmatan tekstil, tukang gunting dan tukang emas dibekukan sejak 2009, dan pada 2019 ia dikategorikan sebagai sektor yang tidak dibenarkan untuk penggajian pekerja asing, manakala bagi pemegang PLKS yang sedia ada pula hanya dibenarkan bekerja sehingga 15 Mac 2023.

(Visited 107 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button