Belang Bertempat

Jika tukar speaker ’sangkut’ esok, Muhyiddin menghadap Agong?

TUGAS pertama kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat esok 13 Julai, sudah tentu tanggungjawab menukar Speaker atau Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalannya.

Jika gagal menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof dan Nga Kor Ming menerusi undi belah bahagi – hakikat sebenar perjalanan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia – mungkinkah Perdana Menteri yang mengetuai PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Parlimen?

Undi belah bahagi merupakan pendekatan dalam Dewan Rakyat untuk mengundi sesuatu dasar yang dibentang. Berbeza dengan undi suara, pendekatan itu memerlukan kiraan undi setiap wakil rakyat secara individu.

Bagaimana jika Muhyiddin Yassin gagal memenangi undi belah bahagi ini?

Menurut sumber kepada SUARA MERDEKA, sekiranya berlaku, ia bermakna Muhyiddin perlu menasihatkan Agong agar Parlimen dibubarkan, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15.

David Cameron

Bercakap pasal undi belah bahagi ini, bekas Perdana Menteri Britain, David Cameron pernah mengalami sembilan kali kekalahan di House of Commons semasa kepimpinannya.

Usul yang dibawa Cameron pada 2011 untuk membahaskan isu ekonomi dengan Kesatuan Eropah ditolak oleh 213 ahli parlimen yang diketuai parti Buruh. Ini berbanding 79 orang yang menyokong menerusi undi belah bahagi, menyebabkan kerajaan Britain gagal meneruskan agendanya.

Kerajaan Cameron tewas sekali lagi di parlimen pada 2016 ketika membawa dasar membenarkan kerajaan tempatan England dan Wales menambah waktu operasi berniaga setiap hari Ahad, dengan undi belah bahagi iaitu 317 undi menolak berbanding 286 undi menyokong. Lebih buruk lagi usul kerajaan Cameron ditolak oleh 27 ahli parlimen partinya sendiri.

Timor Leste, sebuah negara muda membuktikan peranan ahli parlimen pembangkang dalam menolak dasar kerajaan melalui pimpinan Mari Alektri. Pakatan ahli parlimen pembangkang secara majoriti menolak perancangan lima tahun kerajaan untuk Timor Leste di parlimen pada 20 Oktober 2017.

Ini menyebabkan kerajaan tidak dapat meneruskan insentif dalam sektor kesihatan serta pembangunan dengan undi belah bahagi 35 menolak dan 30 ahli parlimen parti memerintah menyokong.

Jelas undi belah bahagi secara asasnya memberi tekanan kepada kerajaan yang memerintah. Sebarang penolakan ahli parlimen ke atas dasar dan perancangan kerajaan di parlimen menyebabkan kerajaan hilang mandat dan kepercayaan untuk terus mentadbir negara.

Itulah salah satu nilai kuasa undi belah bahagi yang mampu memberi tekanan kepada kerajaan supaya melaksanakan dasar yang menguntungkan rakyat.

Meskipun negara kini diuruskan dengan baik oleh Muhyiddin namun kedudukan kerajaan dilihat masih lagi tidak stabil.

Ini kerana Muhyiddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Pagoh dipercayai mempunyai sokongan majoriti yang sangat tipis, iaitu antara satu hingga dua Ahli Parlimen sahaja.

Ditambah pula dengan fenomena pemimpin-pemimpin politik kini yang sering melompat parti, maka kedudukan majoriti mana-mana individu sedang bersaing untuk menduduki jawatan Perdana Menteri semakin kurang jelas dan samar.

Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini membentuk blok bersama Parti Warisan Sabah diketuai Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berikrar tidak akan berhenti daripada usaha menjatuhkan Muhyiddin kerana berang dengan Perdana Menteri yang memberi peluang kepada parti dicemari rasuah yang ditolak pengundi dalam pilihan raya umum dua tahun lalu kembali berkuasa.

Bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu juga mendakwa, pakatan Muhyiddin hanya meraih kelebihan dua kerusi daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat dan menegaskan akan meneruskan kerjasama dengan blok pembangkang untuk menggulingkan kerajaan PN. – SM

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
error: Isi kandungan ini di lindungi dari Copy & Paste !!
Close
Close