fbpx
Politik

Jangan guna sekolah, kanak-kanak sebagai ejen rasis, kata Ketua Pemuda DAP

KETUA Pemuda DAP Howard Lee Chuan How menyelar tindakan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz  menjadikan hiasan Tahun Baharu Cina di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Puchong 1 di Selangor.

Howard yang menuduh Mohd. Khairul Azam  sebagai rasis mendakwa Pengerusi Biro Aduan Awam dan Undang-Undang Putra itu memberikan fakta-fakta palsu tentang perayaan sambutan Tahun Baharu Cina  sebagai satu perayaan agama.

Ketua Pemuda DAP itu berkata, semua rakyat Malaysia mengetahui perayaan ini adalah satu perayaan budaya.

“Saya menyeru agar Buzze Azam dan parti Putra tidak berprasangka jahat, menghasut dan memperalatkan tiang-tiang perpaduan yang selama ini sudah sedia ada aman dan tenang.

“Kita rakyat Malaysia tidaklah sebodoh itu untuk terpedaya. Tindakan kotor seperti ini seolah-olah menidakkan tanggungjawab guru-guru yang sememangnya lebih arif dan lebih bijak dalam menyemai perpaduan kaum.


“Letakkanlah kepercayaan kepada sekolah selaku pemberi perkhidmatan terbaik. Dan letakkanlah kepercayaan kepada anak-anak kita untuk menjadi waris generasi yang harmoni,” kata Howard.

Sebelum ini  Mohd. Khairul Azam yang juga dikenali sebagai Buzze Azam berkata, pihaknya menerima aduan ibu bapa berkaitan perhiasan sambutan Tahun Baharu Cina di sekolah tersebut yang dikatakan keterlaluan.

Mohd. Khairul telah menulis surat kepada pengetua seekolah tersebut, Rohani Mohd. Nor mengenai aduan tersebut yang mendakwa ibu bapa tidak selesa dengan hiasan berkenaan.

“Ada juga ibu bapa yang membayangkan keadaan sekolah yang seolah-olah telah dihias seumpama gedung perniagaan milik China dan terdapat unsur-unsur keagamaan selain agama Islam yang telah mendatangkan perasaan tidak aman dan damai di kalangan pelajar beragama Islam dan bertentangan dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Selanjutnya, Putra juga menyatakan bahawa tindakan Puan membenarkan perhiasan berlebihan untuk perayaan agama masyarakat Cina ini di sekolah awam juga adalah bertentangan dengan Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa “tiada sesiapa boleh menerima apa-apa ajaran agama atau menyertai apa2 Amalan agama Selain ugamanya sendiri,” kata Mohd. Khairul.

Dalam surat tersebut, Mohd. Khairul memberi tempoh tiga hari kepada sekolah tersebut untuk menurunkan semua perhiasan tersebut dan jika enggan Putra akan melaporkan isu berkenaan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Petang tadi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengetuai deligasi  melawat dan memberi sokongan terhadap sekolah tersebut  selepas menerima aduan daripada ibu bapa yang meminta hiasan sempena Tahun Baharu Cina diturunkan.

Portal Malay Mail melaporkan termasuk hadir adalah Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi Gobind Singh Deo, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahmah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mujahid Yusof Rawa.

Turut hadir Menteri Air Tanah dan Sumber Asli, Datuk Xavier Jayakumar dan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Cing.-SM

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button