Nasionalpilihan

Bekas Perdana Menteri lupa namanya sendiri, KJ dedah Tun Abdullah hidap demensia

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin buat kali pertama mendedahkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menghidap demensia.

Khairy berkata, Abdullah atau lebih dikenali Pak Lah yang juga bapa mentuanya, turut tidak mengingati namanya, isteri serta ahli keluarga lain.

“Saya ingin berkongsi satu perkara peribadi yang tidak pernah dikongsikan sebelum ini yang Pak Lah menghidap demensia.

“Beliau mula menunjukkan tanda kemerosotan kognitif (cognitive impairment) sejak pada 2009 selepas beliau bersara daripada jawatan Perdana Menteri.

“Ramai orang tertanya-tanya keberadaannya dan sudah lama tidak melihatnya di tempat umum. Beliau kini terpaksa duduk atas kerusi roda, umpama mempunyai kehadiran fizikal dan fikirannya tiada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Panduan Amalan Klinikal (CPG) Pengurusan Demensia (Edisi Ketiga) dan Pengurusan Schizophrenia (Edisi Kedua) di Sheraton Imperial di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Hazli Zakaria dan Pengerusi Kumpulan Pembangunan Panduan Amalan Klinikal (CPG) merangkap Pakar Psikiatri Geriatrik Hospital Kuala Lumpur, Dr Chan Yee Fai.

Khairy menjelaskan, bapa mentuanya tidak lagi berkeadaan biasa, tidak mengenali orang terdekatnya.

“Saya tahu beliau masih mengenali saya apabila melihatnya mengerdipkan mata, apabila saya melawatnya.

“Lebih banyak hari yang sukar berbanding hari yang lancar. Jadi doakan beliau dan kami berharap untuk hari yang lebih baik akan datang,” katanya.

Pada 15 November tahun lalu, Pejabat Tun Abdullah Ahmad Badawi menafikan penularan berita bekas Perdana Menteri kelima itu meninggal dunia.

Khairy berkata, pendedahan mengenai penyakit dihidapi Pak Lah itu dibuat selepas mendapat persetujuan daripada keluarganya.

“Bagi pesakit demensia, pengurusan penjagaan adalah paling mencabar. Saya melihat bagaimana ibu mentua, auntie Jean melalui situasi sukar kerana demensia bukan satu penyakit, tetapi memerlukan penjagaan rapi 24 jam,” katanya.

Katanya, selepas beberapa tempoh, pesakit memerlukan penjagaan berterusan sepanjang masa bagi memastikan keselamatannya terpelihara.

“Justeru kami menyediakannya jururawat profesional untuk bersamanya 24 jam. Kami agak bernasib baik kerana mampu berbuat demikian, bayangkan orang yang tidak mampu.

“Demensia tidak boleh didiskriminasi. Bayangkan orang yang tidak mempunyai akses kepada penjagaan yang tidak mampu tetapi mereka perlu menjaganya kerana ahli keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata adalah penting untuk merealisasikan hasrat menjayakan Kertas Putih Kesihatan supaya dapat memastikan sistem kesihatan di negara ini lebih mampan dan berdaya tahan melalui pemikiran kerajaan dan masyarakat.

“Ini kerana dalam usaha itu, ia merangkumi mengenai memperkasakan dan pelaburan dalam penjagaan komuniti yang lebih baik serta perawatan domisiliari.

“Saya rasa ini adalah masanya kita memerlukan kertas putih penjagaan kesihatan bagi menyediakan komuniti yang lebih baik, termasuk akses lebih untuk pesakit mental,” katanya.

(Visited 620 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button