Nasional

Jabatan Perhutanan diarah kenal pasti kawasan berisiko tinggi, langkah mitigasi demi kelestarian Orang Asli

KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) mengambil perhatian ke atas insiden berlakunya lambakan kayu hanyut, puing, gelinciran tanah dan kejadian kepala air di beberapa buah negeri ekoran berlakunya hujan lebat dan banjir besar.

Menteri Tenaga danb Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, justeru, sebagai tindakan serta merta, saya telah mengarahkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) bekerjasama dengan semua Pengarah Perhutanan Negeri supaya segera mengenalpasti kawasan berisiko tinggi (hotspot) di seluruh Semenanjung Malaysia.

Katanya, pada masa ini, JPSM telah menggunapakai aplikasi sistem Forest Monitoring  using Remote System (FMRS) termasuk penggunaan dron bagi tujuan penguatkuasaan, pemantauan dan pengesanan perubahan litupan kawasan hutan secara real time.

“Saya juga telah mengarahkan JPSM untuk mengemukakan laporan tersebut serta langkah-langkah mitigasi yang boleh dilaksanakan dalam tempoh sebulan.

“JPSM juga diminta mengenal pasti kawasan Taman Eko Rimba dan hutan-hutan lipur yang belum dipasang dengan sistem amaran awal untuk pemasangan segera bagi memastikan kawasan tersebut selamat kepada penduduk setempat dan orang awam.

“Dalam sektor pengurusan perhutanan, dasar Kerajaan Persekutuan adalah jelas iaitu berasaskan amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management – SFM). Ia merangkumi pelaksanaan sistem tebangan memilih (Selective Management System – SMS) sejak tahun 1978, Catuan Tebangan Tahunan (CTT) sejak tahun 1981 dan persijilan pengurusan hutan berdasarkan Malaysian Criteria and Indicators for Forest
Management Certification (MC&I) sejak tahun 2012.

“Selain itu, urus tadbir sektor perhutanan dikawal selia melalui Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] dan ordinan/enakmen perhutanan di negeri-negeri,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kerajaan turut memastikan pengawalan aktiviti pengusahasilan di hutan tanah kerajaan melalui Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia bertajuk ‘Panduan Amalan Baik Hutan (Good Forest Practices) untuk Pengusahasilan Kayu Kayan Tanah Kerajaan’ pada tahun 2016.

Katanya, ia sebagai rujukan utama kepada jabatan-jabatan perhutanan negeri. Garis panduan ini telah mengambil kira kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan biodiversiti hutan. Ia memberi penekanan terhadap beberapa amalan baik hutan seperti tidak membenarkan aktiviti pengusahasilan semasa musim hujan, keperluan penyediaan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Environment Impact Assessment – EIA) bagi
pengusahasilan yang melebihi 500 hektar, penandaan kawasan pengusahasilan dan larangan tebangan pokok dalam zon penampan sungai.

“Dari aspek penyelarasan dasar antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri, Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan penubuhan Majlis Tanah Negara (MTN). Pembentukan MTN bertujuan menyeragamkan dasar-dasar bagi memaju dan mengawal penggunaan tanah bagi tujuan perlombongan, perhutanan, pertanian dan apa-apa maksud lain.

“Mesyuarat MTN Ke-79 pada 2 Disember 2021 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri telah mengambil pendirian yang tegas berhubung dua perkara penting berkenaan kelestarian sumber asli negara iaitu  pelaksanaan moratorium ladang hutan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 15 tahun serta pelaksanaan penguatkuasaan dan penyelesaian terhadap penerokaan haram dalam HSK di setiap negeri selewat-lewatnya pada 1 Jun 2022.

:Selain itu, Perdana Menteri juga telah menekankan agar semua kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia mengambil tindakan ke arah meningkatkan kawasan berhutan sedia ada dari 43.41% kepada 50% menjelang tahun 2040, selari dengan Rancangan Fizikal Negara Ke-4 (RFN4) yang telah diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara Ke-39 pada 21 Oktober 2021.

“KeTSA komited dalam memastikan kekayaan sumber asli kita terus dijaga, diuruskan secara mampan dan digunakan secara bertanggungjawab. Dalam hubungan ini, saya menyeru semua pemegang taruh, termasuk kerajaan negeri selaku pengurus sumber asli di peringkat negeri untuk bersama-sama KeTSA memastikan dasar Kerajaan Persekutuan dilaksana dan dipantau demi pembangunan negara yang mampan dan masa depan generasi akan datang,” katanya.

(Visited 249 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button