Hanya peraih boleh ‘berbisik’ di pasar bisik Kuala Muda
DISEBABKAN wabak Covid-19, kini hanya peraih sahaja yang dibenarkan berbisik di Pasar Bisik, Kuala Muda.
Lazimnya, Pasar Bisik di Kuala Muda, Penaga sibuk dengan orang ramai yang datang membeli hasil laut dengan kaedah jualan cara berbisik.
Namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), keadaan pasar itu agak lengang kerana hanya peraih dibenar membeli ikan terus daripada nelayan.
Walaupun masih meneruskan kaedah berbisik kerana ia cara tradisi nelayan di situ menjual ikan sejak 40 tahun lepas, arahan pihak berkuasa dalam usaha mengelak jangkitan virus COVID-19 tetap diikuti dengan peraih dan nelayan sahaja akan berbisik pada jarak satu meter.
Ketua Unit Nelayan Kuala Muda, Ariffin Mat berkata pihaknya akur dengan arahan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung wabak COVID-19 dan membuat pengubahsuaian dalam kaedah jualan ikan cara bisik.
“Kami kena ubah sistem cara bisik sebelum ini yang sesiapa sahaja boleh datang membeli namun sejak PKP ini kami hanya benarkan peraih sahaja berurusan (beli) di sini supaya orang tidak ramai di pasar bisik, lagipun memang unit nelayan sendiri ambil tindakan, kami letak nelayan dan peraih jauh dalam satu meter,” katanya kepada Bernama hari ini.
Ariffin berkata selain itu orang ramai juga tidak dibenarkan membeli ikan terus dari bot nelayan seperti sebelum ini kerana pihaknya tidak mahu berlaku kesesakan serta orang ramai berkumpul di kawasan tersebut.
“Setakat ini saya tengok orang ramai patuh pada ketetapan yang kami buat dan pihak polis juga sentiasa menjalankan rondaan di kawasan sini (pasar bisik) bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan yang dikeluarkan,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati kehadiran pengunjung luar dari Kuala Muda berkurangan berbanding tiga minggu lalu susulan harga ikan kembung jatuh iaitu kira-kira 50 sen sekilogram.
Namun ketika ini harga ikan tersebut meningkat sedikit kepada RM2 hingga RM3 sekilogram tetapi ia jauh lebih murah berbanding tahun lalu yang mencecah RM18 hingga RM20 sekilogram.
Tinjauan juga mendapati pihak polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) membuat sekatan jalan ke Pasar Bisik Kuala Muda bagi mengelakkan kehadiran terlalu ramai pengunjung seperti sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata selain pemantauan pihaknya turut membuat pengumuman menerusi pembesar suara bagi memastikan orang ramai yang hadir di pasar itu mematuhi arahan dan hanya 10 peraih sahaja pada satu-satu masa bagi membeli hasil laut. – BERNAMA