fbpx
Nasional

Covid-19: Tujuh maut hari ini, Malaysia catat kematian tertinggi

MALAYSIA mencatatkan jumlah kes kematian tertinggi akibat COVID-19 apabila tujuh kes kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 34 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah kes positif COVID-19 juga meningkat kepada 2,470 kes susulan penambahan 150 kes baharu hari ini.

“Kes kematian ke-28 (kes ke-2321) adalah perempuan warga Malaysia berumur 91 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang dan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 26 Mac, disahkan meninggal dunia pada 28 Mac pukul 8.48 pagi,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini COVID-19, hari ini.

Beliau memberitahu, lima daripada mereka meninggal dunia mempunyai latar belakang penyakit, seorang mempunyai sejarah melawat negara luar dan seorang lagi daripada kluster Masjid Jamek Sri Petaling.

Kes kematian ke ke-29 katanya, adalah daripada kes ke-2,123 merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 64 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Sementara kes kematian ke ke-30 adalah dari kes ke-2,322 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 76 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang,” katanya dalam sidang media hari ini.

Kes kematian ke-31 pula katanya adalah dari kes ke-2,323 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 27 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

Beliau dirawat PPUM pada 27 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia pada 28 Mac 2020 jam 7.44 malam.

“Kes kematian ke ke-32 (kes ke-1239) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 50 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

“Beliau merupakan peserta perhimpunan Seri Petaling. Beliau dirawat Hospital Enche’ Besar Hjh Kalsom, Johor pada 22 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 28 Mac 2020 jam 7.44 malam,” jelas Noor Hisham.

Katanya, dua lagi kematian adalah daripada ke-1,249 yang merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 37 tahun dan mempunya sejarah perjalanan ke India.

Mangsa dirawat di Hospital Permai, Johor pada 21 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia pada 28 Mac lalu.

Sementara kematian ke ke-34 pula dari kes ke-787 juga merupakan warganegara Malaysia berumur 77 tahun dan turut mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

Dalam pada itu, kes positif Covid-19 turut meningkat sebanyak 150 kes positif, hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,470 kes. Sehingga kini, seramai 73 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Daripada jumlah tersebut, 52 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. — BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button