fbpx
Nasional

Bekalan makanan cukup, tidak perlu pembelian panik

KERAJAAN memberi jaminan bekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata apa yang berlaku adalah rakyat melihat jenama dan bukannya produk.

“Tinjauan di 27 pasar raya mendapati bekalan makanan asas masih boleh didapati dengan mudah. Cuma apabila beras dikatakan mencukupi, ia merujuk kepada produk beras, bukan jenama.

“Jadi rakyat tak perlu bimbang dan melakukan pembelian panik,” katanya, yang juga Menteri Pertahanan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri–menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Jelas Ismail Sabri kebanyakan pasar raya juga telah melaksanakan jarak sosial dalam premis perniagaan mereka.


“Ada yang mengehadkan kemasukan pelanggan dan di sesetengah tempat, mereka (pelanggan) beratur panjang dengan penuh sabar,” katanya.

Mengulas mengenai penularan berita palsu, Ismail Sabri meminta rakyat agar hanya mendengar maklumat dari sumber yang betul.

“Masih banyak berita palsu dan ia kini bukan hanya secara individu,” katanya.

Menyebut sebuah portal (The Edge Market) sebagai contoh yang menyenaraikan kawasan yang akan di dikenakan sekatan keluar dan masuk, Ismail Sabri menyatakan ia adalah berita palsu.

“Saya tak pernah buat kenyataan itu kepada media itu dan kenyataan hanya diberikan kepada beberapa media rasmi. Jika keluar daripada bukan media rasmi, ia adalah berita palsu,” kata seperti dilaporkan oleh BERNAMA

Sementara itu bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan ikan sepanjang tempoh PKP, Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) menyediakan perkhidmatan Jualan Ikan Segar Beku (QFish) dan makanan laut dengan menghantarnya ke rumah pelanggan melalui pesanan kepada ‘runner’ di bawah selian persatuan itu.

Pengerusinya Abdul Hamid Bahari berkata buat permulaan, perkhidmatan di bawah program NEKMATbiz itu disediakan sekitar Lembah Klang sahaja.

“Buat masa ini, orang ramai sekitar Kuala Lumpur boleh membuat tempahan ikan secara dalam talian di www.nekmatbiz.com.my.

Semua penghantaran akan dibuat dari Pusat Pengumpulan dan Pengedaran NEKMAT Taman Wahyu di Kuala Lumpur.

Abdul Hamid berkata pihaknya membeli ikan segar daripada nelayan yang terus dihantar ke tempat simpanan sebelum dibekalkan kepada pengguna.

Sehingga kini, terdapat 50 tan stok ikan Qfish dalam simpanan NEKMAT. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button