Nasional

GLC diarahkan lantik wakil MTUC dalam Lembaga Pengarah

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengaahkan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu melantik wakil dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebagai ahli Lembaga Pengarah.

Bercakap dalam persidangan perwakilan MTUC ke-22, Ismail Sabri mahu suara pekerja diambil kira dalam semua keputusan Lembaga Pengarah GLC dan GLIC.

“Menjadi harapan kerajaan supaya wakil pekerja berkenaan turut memainkan peranan dalam urusan pentadbiran nanti,” katanya dalam ucapan beliau seperti dilaporkan FMT hari ini.

MTUC mewakili 16.5 juta pekerja dengan slogan Pejuang Kaum Pekerja Sejak 1949.

Setakat ini, pegawai MTUC menganggotai pelbagai badan berkanun dan khas termasuk dalam Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Dalam majlis itu, perdana menteri turut mengumumkan, geran tahunan RM4 juta kepada MTUC bagi melaksanakan program kesedaran dan latihan sejajar perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

“Peningkatan kemahiran dan latihan semula merupakan kunci yang penting dalam memastikan Malaysia mempunyai tenaga kerja yang berdaya saing.

“Saya menggesa MTUC mewujudkan pelan pendidikan lebih holistik, efektif, dan komprehensif kepada ahli-ahli kesatuan gabungan di bawahnya serta diperluas kepada golongan pekerja yang lain,” katanya.

Ismail Sabri menyeru MTUC melihat semula usaha-usaha yang mampu memastikan tenaga kerja memiliki kemahiran baharu yang sewajarnya dan bukan hanya memperjuangkan soal gaji dan imbuhan.

“MTUC juga perlu prihatin terhadap keperluan ahli kesatuan khusus yang tergolong dalam kumpulan B40 dan kelompok miskin tegar,” katanya. – SM

 

(Visited 181 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button