Nasional

Syarikat GLC, GLIC jangan hanya fokus keuntungan

SYARIKAT berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) digesa tidak hanya memfokuskan keuntungan sebaliknya perlu mengambil tanggungjawab korporat yang lebih besar dalam pembinaan negara, kata Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Melangkah ke hadapan, Kementerian Kewangan akan menyelaras usaha untuk memastikan GLIC dan GLC melakukan pelbagai perkara.

“Antaranya, melaksanakan pelaburan strategik yang selari Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), serta menyokong transformasi ekonomi Malaysia,” katanya dalam perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan.

Perdana Menteri Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan, turut mempelawa syarikat-syarikat GLC dan GLIC hadir ke perhimpunan bulanan kementerian itu.

“Mulai hari ini, GLIC dan GLC turut dijemput ke perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan, mengambil kira peranan besar mereka dalam merealisasikan aspirasi ekonomi Madani,” ujar beliau.

Beliau turut menggesa GLC dan GLIC meningkatkan kebajikan pekerja dan menyokong pembangunan modal insan, termasuk melaksanakan program kebolehpasaran graduan.

Anwar berkata, GLIC perlu menyokong pertumbuhan ekonomi negara dan menggalakkan pelaburan domestik langsung.

“Peranan GLIC yang secara kolektif mengurus hampir RM2 trilion nilai aset hendaklah dioptimumkan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya.

Bulan lalu, Anwar dilaporkan berkata, GLIC dan GLC juga perlu meningkatkan pelaburan dalam sektor tenaga digital dan tenaga boleh diperbaharui, serta menggalakkan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana bagi mengembangkan pasaran mereka ke negara serantau, seperti digariskan dalam aspirasi nasional Malaysia.

Beliau turut memberi mandat kepada GLIC untuk meningkatkan pelaburan langsung domestik mereka kerana mereka mempunyai tanggungjawab untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan mengembangkan pendapatan rakyat.

Memandangkan jumlah saiz aset di bawah pengurusan bernilai RM1.84 trilion, hampir sama dengan saiz keluaran dalam negara kasar nominal Malaysia tahun lepas, GLIC mampu menggerakkan dan mempercepatkan ekonomi negara. – SM

BACA GLC, GLIC beri peluang kepada wanita naik pangkat – PM Anwar

(Visited 45 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button