Nasional

Dua lelaki tular kerana bergaduh di lampu isyarat ditahan polis

SEMALAM tular satu video di laman sosial yang memaparkan pergaduhan di antara seorang penunggang motosikal dan pemandu teksi di hadapan lampu isyarat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, kejadian tersebut berlaku berdekatan Lebuh Raya Sprint Damansara, Petaling Jaya kira-kira pukul 6.20 petang semalam.

“Kejadian berlaku apabila penunggang motosikal yang berusia 46 tahun telah membunyikan hon kepada pemandu teksi berusia 71 tahun kerana didakwa telah memotong laluan secara melulu tanpa memberikan isyarat.

“Ketika tiba di lampu isyarat, penunggang motosikal telah menegur pemandu teksi kerana tindakannya itu boleh membahayakan nyawa orang lain.

“Kemudian berlaku pertengaran mulut di antara kedua-duanya sehinggalah penunggang motosikal itu mengetuk cermin pemandu teksi dan memintanya berhenti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurut Nik Ezanee, pemandu teksi itu kemudian telah berhenti dan mengeluarkan pengunci stering untuk memukul penunggang motosikal hingga menyebabkan kecederaan pada tangan kanannya.

Susulan kejadian itu, pemandu teksi itu juga mendakwa yang dia telah dipukul oleh penunggang motosikal dengan menggunakan helmet dan pengunci stering yang dikeluarkannya sendiri sebelum itu.

“Kita telah menahan kedua-dua suspek kira-kira pukul 4.25 pagi tadi di tepi Jalan Mutiara Damansara untuk siasatan lanjut.

“Semakan rekod lampau mendapati kedua-duanya tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” ujarnya.

Bagaimanapun, kedua-duanya telah diberi jamin polis awal pagi tadi memandangkan seorang daripadanya berusia 71 tahun.

Tambahnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. -SM

(Visited 424 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button