Nasional

COVID-19: Labuan kini zon hijau

WILAYAH Persekutuan Labuan kini kawasan kelima Zon Hijau atau sifar kes  COVID-19 setakat 12 tengah hari semalam.

Berdasarkan infografik Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dikongsi melalui media sosial rasmi KKM, hari ini, selain Labuan, empat negeri yang kini Zon Hijau ialah Perlis, Kedah dan Kelantan dan Perak.

Sehingga kini sebanyak 91 kawasan kini Zon Hijau manakala 58 daerah masih lagi mencatatkan kes aktif COVID-19, satu hingga 40 kes antaranya Gombak, 40 dan Petaling (38) di Selangor serta 31 kes di Seremban.

Sementara itu, lapan kawasan yang masih lagi Zon Merah ialah tiga daerah di Kuala Lumpur; dua daerah masing-masing Sarawak dan Johor dan satu di Selangor.

Daerah Zon Merah dengan kes aktif lebih 40 ialah kawasan Lembah Pantai (258), Kepong (84), dan Titiwangsa (74) di Kuala Lumpur; Kuching (143) dan Kota Samarahan (54), Sarawak; Kluang, 70 dan Johor Bahru, 46 di Johor serta Hulu Langat, Selangor (50).

Zon Merah mewakili jumlah positif COVID-19 melebihi 41 kes, Zon Kuning (satu hingga 40 kes) dan Zon Hijau tiada kes.

Pada hari ini juga, kumpulan pertama 47 pelajar Kolej Martikulasi Labuan (KML) telah bergerak pulang ke rumah masing-masing di Limbang dan Lawas di Sarawak, melalui Terminal Feri Antarabangsa Labuan, bermula hari ini.

Pelajar terbabit tiba di terminal tersebut kira-kira pukul 8 pagi menaiki dua buah bas dan kemudiannya menjalani ujian saringan suhu oleh pegawai kesihatan Limbang sebelum menaiki feri yang ditempah khas untuk perjalanan dua jam ke Limbang.

Kesemua 47 pelajar terbabit merupakan antara 2,341 pelajar KML yang telah menjalani ujian swab dan saringan kesihatan pada 29 April, sebelum mereka dibenarkan untuk pulang ke kampung halaman mereka di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia mengikut kumpulan, sehingga minggu hadapan.

Mereka akan menjalani kuarantin di Hotel Purnama apabila tiba di Limbang hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan Dr Fary Akmal Osman berkata, kumpulan kedua pelajar dari Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), KML dan Institut Latihan Industri (ILI) yang berasal dari beberapa tempat di Sabah akan bergerak pulang pada Isnin dan Selasa menaiki bas disewa khas dan feri.

Beliau mendedahkan lebih 40 pelajar dari Labuan ketika ini belajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan pulang ke pulau bebas cukai ini pada 13 Mei, manakala jumlah pelajar yang masih terkandas di Semenanjung, masih belum dapat dipastikan.- BERNAMA

(Visited 193 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button