Nasional

Syukur Labuan dari teruk kini pulih Covid-19

LABUAN menjadi contoh bagaimana kawasan yang terjejas teruk dengan jangkitan Covid-19 kini semakin pulih.

Tindakan berani pihak berkuasa mengenakan lockdown di lokaliti yang mempunyai 30 kes ke atas membuahkan kejayaan hari ini apabila pulau itu hanya mencatatkan kes harian 20 ke bawah berbanding tiga angka sebelum ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berasa lega dengan pemulihan yang sedang dilalui oleh penduduk Labuan ketika ini.

“Melihat pemulihan Labuan saya amat bersyukur. Walau kita pilih langkah yg berat untuk lockdown satu pulau dan saya beranikan diri PKPDkan semua lokaliti dengan 30 kes keatas, hari ini kita merasa lega kerana mula mengecapi tanda kejayaan. Betapa sukarnya kita di awalan, kita lega sekarang.

“Data terkini mengembirakan. Kes yang dulunya tiga digit, kini 20 dan terus menurun. Sasaran kita 12 ke bawah. Kematian cuma seorang.

“Vaksinasi dua dos mencecah 60% dan satu dos hampir 90% daripada penduduk dewasa.  Labuan wilayah pertama capai tahap imuniti kelompok. Kita usaha. Pasti tidak gagal,” kata Annuar.

Menurutnya, kumpulan Whatsapp “Labuan TSAM C19 Busters” terdiri daripada semua pemimpin politik, masyarakat, agensi, jabatan dan badan bukan kerajaan menjadi platform utama pengawalan kes Covid-19 di pulau itu.

Sebelum ini Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menjadikan Labuan sebagai contoh  dalam memerangi jangkitan Covid-19 di Malaysia.

Kes positif Covid-19 di wilayah itu pernah mencecah 1,340 kes hanya dalam tempoh seminggu.

“Kita melaksanakan tindakan kesihatan awam dan pemberian vaksin malah, kita kenal pasti jangkitan yang dilaporkan ini melibatkan varian Delta iaitu terdiri daripada pekerja industri perkapalan.

“Dalam masa dua minggu kita melaksanakan tindakan awam dan pemberian vaksin dos pertama (87 peratus) serta dos kedua (52 peratus), dan ia dapat dikawal dalam tempoh dua minggu lebih selain menyaksikan kes menurun.

“Ini menunjukkan walaupun varian Delta dikesan di sana, apa yang penting ialah meningkatkan pemberian vaksin berjaya membendung penularan Covid-19 dalam masa kurang tiga minggu dan hari ini Labuan mencatatkan 26 kes baharu,” katanya dalam sidang akhbar baru-baru ini.-SM

(Visited 83 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button