Nasionalpilihan

Eksport minyak sawit Malaysia ke Iran akan dipertingkatkan

IRAN bersetuju untuk meneroka memorandum persefahaman (MOU) bagi tujuan meningkatkan eksport sawit negara ke sana tidak lama lagi.

Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan di antara Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dengan Pengarah Urusan Perbadanan Perdagangan Kerajaan Iran (GTC), Yazdan Seif di Istanbul, Turki pada 10 Julai lalu.

Dr Mohd Khairuddin berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai hasrat Iran untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia sehingga 1 juta tan setiap tahun.

Dalam pertemuan itu juga jelasnya, Yazdan yang juga Timbalan Menteri Perindustrian, Perlombongan dan Perdagangan Iran menyatakan kepentingan minyak sawit dalam memenuhi penggunaan minyak dan lelemak negara berkenaan yang kini mencapai sejumlah 2.2 juta tan setiap tahun.

“Iran berhasrat untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia. Ketika ini, Malaysia menguasai 78 peratus pasaran minyak dan lelemak di Iran sepanjang tahun 2020.

“Pada tahun lalu, Iran mengimport minyak sawit Malaysia sebanyak 315,699 tan bernilai RM895 juta.

“Bagaimanapun, jumlah eksport minyak sawit negara ke Iran meningkat lebih 400 peratus bagi tempoh Januari hingga Mei tahun 2021 iaitu sebanyak 238,683 tan bernilai RM970 juta berbanding 50,889 tan dengan nilai RM131.5 juta sahaja dalam tempoh sama pada tahun 2020,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Iran memaklumkan bahawa kapasiti penapisan minyak sawit negara itu kini meningkat dua kali ganda manakala industri pembungkusan mencatatkan pertumbuhan yang sangat
memberansangkan ketika ini.

Jelasnya, negara perlu menggunakan peluang ini untuk menjadikan Iran sebagai hab pengeksport semula ke negara-negara rantau itu yang dianggarkan mencecah penggunaannya sehingga 5.5 juta tan minyak dan lelemak setahun.

“Iran yang kini berhadapan dengan sekatan ekonomi, namun dibenarkan untuk meneruskan aktiviti perdagangan dengan negaranegara terpilih. Misi utama GTC ialah untuk membekalkan bahan makanan kepada rakyat negara berkenaan.

“Kita berharap MOU berkenaan dapat dimeterai antara kedua-dua negara melalui agensi yang berkaitan dalam usaha meningkatkan jumlah eksport minyak sawit Malaysia.

“MOU itu juga dapat memainkan peranan utama membantu rakyat negara itu memperoleh bekalan
makanan dalam situasi sukar pandemik COVID-19 dan sekatan ekonomi,” katanya. SM

(Visited 218 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button