Berita

Buat pertama kali warga maya tidak setuju dengan Raja Permaisuri Agong

Penularan video murid sekolah menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku dalam bahasa Mandarin mendapat perhatian semua pihak, tidak terkecuali Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dalam entri di akaun Twitter hari ini, baginda memuat naik pandangan peribadinya berhubung isu tersebut.

Menurutnya, tidak menjadi satu kesalahan untuk menyanyikan lagu Negaraku dalam apa bahasa sekalipun kerana keutamaan adalah semangat patriotisme.

“Bagi saya, lagu kebangsaan kita ‘Negaraku’ dengan rasminya dinyanyikan dalam bahasa Melayu bahasa kebangsaan kita tetapi tidak salah kalau dinyanyikan dalam bahasa dialek Cina, Arab, Hindi, Tamil, Inggeris dan sebagainya, asalkan dinyanyikan dengan penuh semangat patriotik dan kebanggaan,” ciapnya.

Hantaran itu bagaimanapun mengundang respons netizen yang tidak sependapat dengan baginda dan menekankan bahasa adalah satu elemen untuk menjalinkan muhibah antara masyarakat.

“Kalau untuk menghayati, boleh saja diterjemahkan dan diajarkan tapi tidak patut dinyanyikan dalam bahasa lain. Ampun Tuanku, saya berbeza,” ciap @rosetamj pula.

Selain @rosetamj, pengguna lain laman sosial itu turut menyokong pandangannya kerana menyifatkan rakyat Malaysia yang gagal menyanyikan lagu Negaraku adalah seorang yang sungguh memalukan.

“Ampun tuanku, pada pandangan saya sebagai rakyat Malaysia, adalah sangat memalukan jika sebagai rakyat, kita gagal menyanyikan, memahami lagu kebangsaan Malaysia dalam bahasa Kebangsaan.

“Bahasa jiwa bangsa. Bangga dengan bahasa kebangsaan kita sendiri,” ciapnya.

Kata @kucaufatin pula, “Ampun tuanku. Patik yang hina tidak bersetuju. Lagu Negaraku berfungsi sebagai penyatuan rakyat Malaysia berbilang kaum, Tuanku. Jika dinyanyikan dalam bahasa lain, ia mencabar perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ampunkan patik, tuanku.”

Hantaran baginda sehingga kini dihujani pelbagai komen daripada netizen di mana ada yang bersetuju dan ada juga yang tidak bersependapat.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga menegaskan bahawa lagu Negaraku tidak boleh dinyanyikan dalam bahasa lain selain bahasa kebangsaan.

Jelasnya, semua rakyat Malaysia sepatutnya tahu dan mahir untuk menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa kebangsaan memandangkan ianya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, kebenaran hanya diberikan terjemahan lagu Negaraku yang ditulis dalam bahasa lain bagi meningkatkan kefahaman orang bukan Melayu dalam memahami maksud sebenar lagu terbabit.

“Kita tak boleh nyanyi Negaraku dalam bahasa lain, tapi makna Negaraku boleh dimasukkan dalam buku  untuk mudahkan orang bukan Melayu faham, kata beliau.

(Visited 429 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button