Berita

Pemergian Tun Rahah Mengejutkan Negara, Biodata Hidupnya Bukan Biasa-Biasa!

Jika disebut tentang Tun Rahah, semua pasti terbayangkan kelembutan dan wajah keibuan beliau yang telah memahat sejarah sebagai salah seorang wanita pertama yang menegakkan hak-hak wanita di Malaysia.

Tun Rahah telah menghembuskan nafas terakhir jam 4.30 petang hari ini di Prince Court Medical Centre pada usianya 87 tahun.

Tun Rahah atau nama penuh beliau Tun Hajah Rahah binti Tan Sri Dato’ Haji Mohamed Noah dilahirkan pada 11 Jun 1933 di Muar Johor.

Beliau merupakan puteri bongsu kepada Allahyarham Tan Sri Haji Mohamamad Noah Omar, seorang ahli politik negara yang ternama pada suatu ketika dahulu.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent of the Holy Infant Jesus, di Johor Baharu, Tun Rahah seterusnya mendirikan rumah tangga dengan Abdul Razak pada 4 September 1952 ketika umurnya baru sahaja menginjak 19 tahun dan Abdul Razak, 30 tahun.

Mereka dikurniakan lima orang anak lelaki iaitu YB Dato’ Sri Najib Tun Razak yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Datuk Mohamed Nazir, Datuk Ahmad Johari, Datuk Mohamed Nizam serta Datuk Mohamed Nazim.

Tun Rahah bukan sahaja seorang isteri kepada pemimpin negara yang berpengaruh, beliau juga banyak memberikan semangat serta perangsang kepada suaminya terutama ketika menghadapi peristiwa darurat di Tanah Melayu dan rusuhan kaum pada tahun 1969.

Tugas beliau bukan terhenti sebagai seorang isteri dan ibu sahaja, beliau malahan sering mengiringi suaminya menjalankan tugas-tugas rasmi negara sama ada di dalam mahupun luar negara.

Menjadi anak kepada seorang ahli politik negara yang berpengalaman dalam bidang politik, Tun Rahah banyak belajar selok belok politik daripada ayahnya yang pernah menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat yang pertama dan Yang Dipertua Dewan Negara.

Beliau turut memainkan peranan yang aktif dalam setiap pilihan raya dengan berkempen dari rumah ke rumah dan berucap di perhimpunan anjuran wanita.

Beliau telah membuktikan bahawa kaum wanita juga boleh memberi sumbangan berkesan kepada pembangunan negara dengan membabitkan diri dalam beberapa kegiatan kaum wanita di negara ini.

Selain bergerak aktif dalam politik umum, beliau juga menjadi penggerak utama dalam pergerakan kaum Ibu Umno (kini Wanita Umno) dan pernah menjadi pengasas pergerakan Wanita Umno Petaling Jaya, selain cenderung dengan kerja-kerja kebajikan khususnya yang memberi manfaat kepada kaum wanita.

Beliau juga adalah penaung Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi) yang pertama pada 1969 hingga 1976 selain pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Restoran Rakyat dan menjadi Canselor pertama Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) pada 2001.

Setelah Abdul Razak meninggal dunia pada tanggal 14 Januari 1976 akibat leukemia, beliau yang pada ketika itu berusia 43 tahun membesarkan kelima-lima anaknya sehingga menjadi individu berjaya dalam pelajaran mahupun kerjaya masing-masing.

Tun Rahah memainkan peranan besar dalam mengasuh serta mendidik putera-puteranya dengan menjadi ibu dan bapa kepada anak-anaknya yang ketika itu masih belajar.

Beliau disifatkan sebagai seorang ibu yang sentiasa memberi sokongan dan bimbingan dengan penuh kasih sayang.

Pelbagai penganugerahan darjah dan pengiktirafan diterima Allahyarham, antaranya dikurniakan Darjah Seri Setia Mahkota daripada Kerajaan Persekutuan pada 1976 yang membawa gelaran ‘Tun’, Pingat Emas Tun Fatimah daripada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) dan Anugerah Srikandi daripada Persatuan Pandu Puteri Malaysia serta menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pendidikan) daripada Universiti Utara Malaysia.

(Visited 2,711 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button