BanjirRencah Hidup

Bomba cegah risiko penularan Covid-19 ketika tangani banjir

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjangkakan cabaran lebih sukar dalam menangani bencana banjir tahun ini, pada ketika negara berhadapan penularan pandemik Covid-19.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, aspek yang membezakan operasi ketika Monsun Timur Laut tahun ini berbanding sebelum ini ialah pengaplikasian prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19 bagi memastikan penyakit tidak terus tersebar dalam kesibukan menangani banjir.

Beliau berkata, antara yang diambil berat ialah SOP operasi pemindahan dan menyelamat jika ada pusat kuarantin atau kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dinaiki air.

“Bagi menghadapi situasi itu, kami juga sudah membuat penandaan di dalam lori atau jentera yang akan digunakan untuk operasi pemindahan bagi memastikan penjarakan fizikal selain SOP biasa seperti pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) oleh anggota bertugas,” katanya kepada BERNAMA.

Beliau menjelaskan dalam situasi pemindahan dan menyelamat mangsa dalam kalangan pesakit atau suspek COVID-19, anggota terlibat akan diminta melakukan saringan penyakit berkenaan.

“Langkah tambahan ini telah dibentangkan ketika mesyuarat bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan bertepatan dengan keperluan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.

Mohammad Hamdan berkata, bagi menghadapi musim tengkujuh tahun ini, kira-kira 12,000 anggota JBPM dan 14,800 anggota Pasukan Bomba Sukarelawan di seluruh negara diletakkan dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Dari segi jentera pula, sebanyak 476 bot aluminium, 51 bot gentian kaca dan 40 bot amfibia kini telah ditempatkan di lokasi yang berisiko tinggi bagi menghadapi bencana ini.

“Jentera berkenaan turut akan dibantu sembilan pesawat udara iaitu dua ditempatkan di Bertam, Pulau Pinang, lima ditempatkan di Subang, Selangor dan dua lagi ditempatkan di Miri, Sarawak,” katanya.

Mohammad Hamdan juga berkata, sebagai langkah tambahan, empat Pasukan Bomba Sukarelawan dengan keanggotaan dalam kalangan nelayan di lokasi berisiko banjir diwujudkan di pantai Dungun dan Kuala Nerus di Terengganu serta Pantai Irama dan Pantai Tok Bali di Kelantan.

Beliau berkata, JBPM sentiasa memantau kira-kira 240 kawasan berisiko banjir di seluruh negara dengan mendapatkan maklumat taburan hujan luar biasa menerusi Pusat Gerakan Operasi (PGO) di setiap negeri.

“Antara kawasan yang dikenal pasti ialah di pantai timur iaitu di Kelantan dan Terengganu dan sebahagian Pahang, di utara iaitu Kedah dan Perlis, di selatan iaitu sebahagian Johor dan Melaka, di Sabah iaitu berdekatan kawasan pantai dan di Sarawak di kawasan Kuching, Kota Samarahan dan Miri,” katanya.

Beliau juga berkata buat masa ini JBPM tidak membekukan cuti anggotanya namun jika situasi banjir menjadi buruk, pembekuan cuti akan dilaksanakan. – SM

(Visited 276 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button