Politik

BN pohon perkenan sultan untuk menamakan Hasni MB Johor

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) secara rasmi akan menamakan kembali Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar Johor selepas kemenangan parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat dengan sebulat suara dan parti akan meneruskan dengan mendapat perkenan Baginda Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
“Sebagai Pengerusi BN, kita mengemukakan nama Datuk Hasni untuk mendapat perkenan Tuanku Sultan Ibrahim bagi membolehkan beliau meneruskan kembali tugas sebagai Menteri Besar Johor.
“Selain itu, kita juga akan memastikan Ikhtiar Johor (manifesto) boleh dilaksanakan dan kami di kepimpinan pusat akan membantu Hasni untuk melaksanakan secepat mungkin bermula daripada Belanjawan 2023,” katanya.
BN memenangi PRN Johor dengan mendominasi sebanyak 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus mencapai jumlah majoriti dua pertiga bagi membentuk kerajaan negeri.
Kemenangan itu juga menyaksikan pesaing lain iaitu daripada Pakatan Harapan (PH) hanya memperoleh 11 kerusi DUN, Perikatan Nasional (tiga), PKR (satu) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (satu).
Ahmad Zahid berkata, pihaknya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Johor yang membantu memenangkan parti pada PRN kali ini.
Sementara itu, Pengarah PRN Johor BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kemenangan ini adalah dilihat sebagai lembaran baharu untuk parti dan seluruh rakyat di negeri ini.

(Visited 249 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button