Politik

Bina lapangan terbang di Seri Iskandar jika BN menang PRU15

GOPENG 11 Nov. – Cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar boleh diteruskan walaupun kawasan yang diperuntukkan untuk projek tersebut telah dijual kepada pihak lain.

Bagaimana pun, Barisan Nasional (BN) Perak perlulah diberi mandat memimpin negeri dan menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, satu lokasi yang sesuai perlu dikenalpasti bagi merealisasikan hasrat tersebut sekali gus memacu kemajuan di Seri Iskandar.

“Itu (bina lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar) memang niat awal kita pada tahun 2017.

“Yang mana Datuk Seri Najib dah luluskan duit, kerajaan negeri Perak semasa BN pun dah luluskan tanah di Seri Iskandar.


“Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, bila bertukar kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH), Lim Guan Eng menarik balik wang tersebut dan pada waktu yang sama pimpinan waktu itu kerajaan PH telah pun menjual tanah itu kepada orang lain,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Himpunan Solidariti BN [email protected] Rapat di Changkat Larang di sini semalam.

Saarani diminta mengulas kenyataan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota, Khairul Shahril Mohamed bahawa BN Perak mahu merealisasikan projek lapangan terbang tersebut.

Beliau berkata, pihaknya memang mempunyai niat untuk meneruskan projek itu sekiranya BN sekali lagi diberikan mandat untuk memegang tampuk pemerintahan.

Sebelum ini, kerajaan negeri Perak mengesahkan tanah tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar telah dijual kepada syarikat swasta.

(Visited 42 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button