Nasionalpilihan

Bekalan beras tempatan mencukupi, harga kekal RM2.60 sekilogram

Kerajaan memberi jaminan bekalan beras tempatan di seluruh negara adalah mencukupi disebalik berlaku kenaikan beras import khususnya dari India sebanyak 40 peratus.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, selain itu beliau turut memberi jaminan harga beras tempatan juga masih kekal RM2.60 sekilogram setakat ini.

Menurutnya, tiada sebab harga beras tempatan akan berlaku kenaikan kerana kerajaan memberikan subsidi sebanyak 60 peratus bagi mengekalkan harga pada paras RM2.60 sekilogram.

“Memang ada permintaan daripada pengilang ingin menaikkan harga beras namun perkara ini akan kita bincang dari semua segi sebab kalau sekarang ini kita tahu subsidi yang diberikan kerajaan sebanyak 60 peratus itu menyebabkan harga beras tempatan kekal pada harga RM2.60 sekilogram.

“Pihak kementerian akan mengadakan pertemuan dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas), pegawai-pegawai tinggi daripada Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) dan pesawah pada Khamis ini bagi membincangkan mengenai bekalan beras tempatan negara.

“Keadaan beras di negara kita adalah mencukupi cuma kadang-kadang beras import bukan barang kawalan jadi yang kita kawal adalah harga beras tempatan yang kekal dengan harga RM2.60 sekilogram.

“Macam dulu bila kita hadapi masalah telur dan ayam tetapi bila semua pihak bekerjasama Alhamdulillah kita dapat atasi masalah itu. Kita harap hal beras pun sebegitu juga,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jualan Mega Agro Madani Peringkat Kebangsaan 2023 di Dataran Sejarah Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Aminuddin Zulkpli.

Mengulas lanjut Mohamad berkata, pihak pengilang dan FAMA telah diminta untuk menghantar di mana-mana tempat jika berlaku kekurangan bekalan.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan akan dipertingkatkan bagi memastikan beras tempatan tidak dilabelkan sebagai beras import untuk mereka membuat keuntungan segera.

Katanya, pihak kementerian telah mengadakan sesi dialog dengan pengilang padi dan pemborong beras di Kedah baru-baru ini dan mereka memberi jaminan patuh dengan dasar-dasar kerajaan tetapkan.

“Saya tegaskan tindakan keras akan diambil terhadap pengilang atau pemborong jika mereka cuba menyorok ataupun menukar label beras semata-mata mahu mencari keuntungan,” ujarnya. – SM

(Visited 147 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button