Nasionalpilihan

Barisan EXCO Kerajaan Perpaduan Melaka diumumkan Rabu ini

Teka-teki barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) Melaka yang baharu hanya akan diketahui Rabu ini.

Nama barisan EXCO yang akan umumkan nanti pastinya membabitkan rakan politik Kerajaan Perpaduan iaitu seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari DAP.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, senarai tersebut sudah dipersetujui Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada pertemuannya dengan Timbalan Perdana Menteri itu semalam.

“Presiden UMNO telah menerima senarai barisan EXCO telah saya kemukakan dalam tempoh 48 jam seperti yang saya janjikan.

“Saya akan berjumpa dengan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam apabila beliau balik dari luar negara nanti.

“Majlis angkat sumpah barisan EXCO baharu ini akan dibuat Rabu ini,” ujarnya kepada pemberita selepas mengimbas perakam waktu pada hari pertama beliau memasuki Pejabat Ketua Menteri, Kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari dan Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh.

Jumaat lalu, Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bidara mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Ke-13 di hadapan Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) Jumaat lalu.

Majlis angkat sumpah berkenaan diadakan selepas Sulaiman yang juga ADUN Lendu, melepaskan jawatan tersebut baru-baru ini kononnya kerana masalah kesihatan.

Ditanya mengenai komposisi Exco yang bakal terbentuk, Ab Rauf berkata, beliau akan memaklumkan perkara tersebut Rabu ini sambil menegaskan portfolio kali ini lebih cantik dan menarik.

“Saya akan diberi taklimat daripada semua pegawai kerajaan negeri yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri dan akan melihat beberapa perkara yang perlu ditambah baik dan ditambah nilai untuk kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Melaka,” ujarnya. – SM

(Visited 130 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button