Ekonomi

Bank Rakyat perkenal SMEC bantu perkasa pembangunan keusahawanan negara

BANK Rakyat memperkenalkan Pusat Perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Koperasi (SME & Cooperatives Business Centre, SMEC) sebagai salah satu inisiatif memperkasakan sektor pembangunan keusahawanan negara.

Pembukaan SMEC ini juga mampu mendorong dalam mencapai sasaran kelulusan pembiayaan sebanyak RM1.0 bilion kepada usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) manakala RM75 juta untuk usahawan mikro bagi tahun 2021.

SMEC merupakan pusat sehenti atau One-stop Centre yang menyediakan khidmat nasihat dan pembiayaan holistik kepada usahawan daripada kategori usahawan Mikro, PKS serta Koperasi.

SMEC yang beroperasi secara fokus untuk pembangunan usahawan, membolehkan pelanggan mendapatkan khidmat nasihat dari segi pengurusan pembiayaan, perniagaan serta perancangan untuk mengembangkan perniagaan mereka tanpa perlu berurusan di cawangan Bank Rakyat.

Inisiatif ini adalah selaras dengan aspirasi Pelan Strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) iaitu meningkatkan aset kewangan perniagaan Bank Rakyat menerusi pusat perniagaan khusus yang menawarkan kemudahan kewangan perniagaan untuk golongan usahawan.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, inisiatif ini turut sejajar dengan manifestasi agenda kementerian seperti yang dinyatakan dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030).

“Dasar itu bertujuan untuk menjadikan Malaysia antara negara keusahawanan sepenuhnya pada tahun 2030, dengan objektif untuk memperkukuhkan sumbangan ekonomi PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kepada 50% menjelang 2030.

“Ia juga seiring dengan Rangka Kerja Keusahawanan Nasional atau National Entrepreneurship Framework (NEF), penubuhan SMEC adalah bertepatan dengan saranan Kerajaan kepada institusi perbankan agar terus menyokong pemulihan ekonomi dan memelihara kesejahteraan sumber pendapatan rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Beliau berkata, menyedari golongan usahawan antara yang terjejas berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara, penubuhan SMEC juga dilihat sebagai salah satu usaha membantu mereka yang terjejas untuk memulihkan semula perniagaan mereka.

Selain itu, ujarnya, SMEC juga bakal memberi peluang kepada usahawan mikro untuk memajukan perniagaan mereka dalam industri PKS sekali gus meningkatkan taraf ekonomi masyarakat khususnya golongan usahawan B40.

“SMEC yang berkonsepkan pusat fizikal merupakan sebuah pusat yang ditempatkan di beberapa lokasi di seluruh negara sebagai platform penyebaran maklumat kepada usahawan di setiap kawasan.

“Sehingga kini, tiga SMEC di Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka telah mula beroperasi untuk memperluaskan capaian kepada PKS, Mikro dan Koperasi di sekitar kawasan berkenaan.

Sementara itu, tujuh SMEC bakal dibuka tidak lama lagi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Catfill International Sd. Bhd, Nur Suraijah Mohd turut berkongsi pengalaman sebagai pelanggan di SMEC Shah Alam.

“Warga kerja di SMEC sangat membantu dalam urusan pemprosesan pembiayaan meskipun perniagaan saya masih baharu.

“Pendapatan jualan serta perniagaan saya juga menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan menerusi sokongan dan khidmat nasihat Bank Rakyat,” katanya.

Selain mengunjungi SMEC secara fizikal, pelanggan juga boleh mendapatkan khidmat SMEC secara maya dengan hanya mengimbas kod QR2E. QR2E (Quick Response to Entrepreneur) merupakan platform dalam talian yang diperkenalkan khusus untuk segmen usahawan mikro, PKS serta koperasi melakukan urusan perbankan secara digital. -SM

(Visited 185 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button