fbpx
Uncategorized

Tunjuk perasaan di Baghdad: 16 maut, 47 cedera diserang kumpulan bersenjata

SEKUMPULAN lelaki bersenjata bertindak menyerang penunjuk perasaan di ibu kota Iraq, Baghdad, menyebabkan 16 orang maut manakala 47 lagi cedera pada Jumaat, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai keselamatan.

Serangan itu berlaku pada sebelah petang apabila sekumpulan lelaki tidak dikenali yang menaiki kenderaan pacuan empat roda dan pikap merempuh Dataran al-Khalani di pusat bandar Baghdad dan melepaskan tembakan rambang ke arah berpuluh-puluh penunjuk perasaan menggunakan raifal tempur, kata pegawai yang enggan identitinya didedahkan.

“Laporan terkini kami mengatakan bahawa 16 penunjuk perasaan maut manakala 47 lagi cedera dalam serangan itu, dan beberapa orang daripada mereka berada dalam keadaan kritikal,” kata pegawai sambil menambah bahawa penembak turut bertindak membakar beberapa bangunan.

Serangan itu menyebabkan kebanyakan penunjuk perasaan melarikan diri untuk menyelamatkan diri masing-masing ke kawasan berhampiran Dataran al-Tahrir, pusat gerakan protes, selain berlindung di bangunan dan masjid yang terletak di sekitar lokasi kejadian.

Beratus-ratus penunjuk perasaan antikerajaan memenuhi kawasan di Jalan al-Jumhouriyah dan Jalan al-Rashid di bahagian timur Sungai Tigris serta menguasai jambatan-jambatan berhampiran al-Jumhouriyah, al-Sinak dan al-Ahrar, yang kesemuanya menuju ke arah Zon Hijau yang dikawal ketat dan terletak di seberang Sungai Tigris.


Serangan berlaku semasa tunjuk perasaan besar-besaran berterusan di Baghdad dan bandar lain di bahagian tengah dan selatan Iraq sejak awal Oktober, yang menuntut langkah pembaharuan menyeluruh, memerangi rasuah, perkhidmatan awam lebih baik dan lebih banyak peluang pekerjaan. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button