Rencana

Kita sedang berperang!!!

Kita sedang berperang. Perang menentang musuh yang tidak nyata. Tiada apa yang dijangka. Mulanya musuh dijangka memuncakkan serangan selepas raya. Rupa-rupanya dia tidak tunggu lama, bulan puasa serangan dilipatkaliganda.

Seraya itu penguasa terpaksa menghalang kita pulang ke kampung berhari raya. Ramai tidak gembira. Tapi ini bukan masa gembira. Perang sedang melanda.

Jika Israel-Palestin sudah laksanakan gencatan senjata, musuh kita nampaknya tidak akan berhenti selagi dia bernyawa.

Nyawa kita adalah taruhan utama. Yang lain bukan lagi utama. Jangan fikir hendak bergembira, sedangkan bala tentera Covid-19 terus mara dan marak.

Lupakan soal melancong dan semuanya. Kita harus menang peperangan ini. Tahniah kerajaan akhirnya menggunakan kuasa yang ada. Semua harus ditutup tidak kira apa. Kita juga tidak boleh alpa. Jika alpa nyawa kita, sanak saudara jadi galang gantinya.

Pengusaha, peniaga bertahanlah sementara. Ini masa sukar ayuh kita tempuh bersama.

Yang utama kini ialah vaksinasi dan perintah berkurung supaya semua berhenti ke sana ke mari.

Sektor ekonomi terjejas memanglah pasti, setelah selesai perang kita hadapi dan menangi, sama-samalah kita bina kembali.

Buat masa ini semua harus bersatu hati kerana ini penentu hidup dan mati. Rakan-rakan dan saudara mara sudah ramai yang terlantar dan sudah pergi.

Janganlah pula kita kuat membangkang pelbagai persoalan timbul dan jadi kontroversi. Ini bukan perlumbaan menunjukkan siapa yang lebih bijak mengatur polisi.

Sama jugalah para menteri, tahanlah diri daripada bersuara perkara yang tidak bererti. Sikap begini hanya menambah keliru warga yang tertekan tidak terperi.

Pusat vaksinasi satu hal lagi yang harus ditangani. Aduan SOP dilanggari masih berlaku ke hari ini. Khusus pusat vaksinasi Pfizer kendalian kerajaan sendiri.

Berbeza AstraZeneca yang dikendalikan swasta. Kecohnya peringkat awal sahaja. Kini semua berjalan lancar dan selesa.

Kerajaan perlu belajar cara kerja diterap swasta lebih teratur dan tidak berterabur.

Banyakkan lagi pusat vaksinasi tidak kiralah di klinik atau sebagainya. Yang penting bagi mengelak ribuan orang berkumpul hingga menyebabkan keadaan tidak terkawal. Lebih membimbangkan bakal tercetus kluster baharu.

Bagi yang tiada urusan terlalu penting, kekallah duduk di rumah. Perang ini akan hanya kita menang jika kita mengawal diri sendiri.

 

(Visited 144 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button