fbpx
Sukan

Badminton beregu campuran Malaysia ada juara baharu

MALAYSIA mempunyai juara baharu dalam acara badminton beregu campuran apabila Tan Kian Meng-Lai Pei Jing melakukan kejutan menyingkirkan pasangan profesional negara, Chan Peng Soon-Liu Ying.

Kejayaan itu membolehkan pasangan Kian Meng-Pei Jing menjuarai Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) 2020 di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Kian Meng-Pei Jing hanyalah beregu nombor 11 dunia sedangkan Peng Soon-Liu Ying adalah pemenang pingat perak pada Sukan Olimpik Rio 2016.

Kemenangan itu juga turut menunjukkan Malaysia mempunyai pelapis yang sama hebat dalam beregu campuran.

Kian Meng-Pei Jing memulakan saingan dengan agresif untuk mengatasi beregu pingat perak olimpik itu dengan 21-10 pada set pertama dan ketinggalan enam mata sebelum merapatkan jurang, sekali gus berjaya mengatasi set kedua dengan 22-20.


Pei Jing berkata, mereka memang tertekan dengan status  Peng Soon-Liu Ying, namun keazaman dan perancangan corak permainan mereka membuahkan hasil untuk muncul juara.

“Kita tak fikir banyak sama ada menang atau kalah, tetapi fokus kepada permainan kami kerana selalunya kalau prestasi bagus, kita boleh menang. Walaupun ketinggalan pada set kedua, kita masih mampu kejar kerana yakin.

“Kejohanan ini membantu kami mengembalikan prestasi dan saingan kompetitif kerana latihan dan beraksi dalam kejohanan tak sama,” katanya.

Peng Soon pula berkata. mereka banyak melakukan kesilapan mudah dan gagal mematahkan strategi lawan dan mengakui kesilapan sendiri punca kekalahan.

“Kita hanya main 80 peratus kerana takut alami kecederaan, kaki Liu Ying pun masih sakit. Mereka pun main dengan baik untuk kejutkan kami,” katanya.

Terdahulu, kecederaan pergelangan kaki kanan tidak menghalang pemain wanita nombor satu negara, Soniia Cheah merangkul kejuaraan acara perseorangan dengan mengalahkan  pemain pelapis negara, Eoon Qi Xuan.

Selepas mudah mencipta kemenangan 21-16 pada set pertama, Sonnia terpaksa berhempas pulas pada set kedua sebelum menang 25-23 untuk merangkul kejuaraan.

“Saya bangga kerana mampu bertahan selepas mengalami kecederaan pada sesi latihan semalam. Walaupun sakit, saya hanya mahu menghabiskan set kedua dengan kejayaan. Kini tumpuan adalah untuk pulih dan bersiap sedia untuk menghadapi Piala Uber di Denmark Oktober ini,” katanya.

Dalam acara final beregu wanita, gandingan ke-14 dunia, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean hanya memerlukan masa 38 minit untuk mengatasi pasangan junior Pearly Tan-M. Thinaah 21-14, 21-17.

Juara perseorangan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 manakala juara beregu menerima RM7,500.

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button