fbpx
Politik

KJ berilah laluan kepada Tok Mat

DATUK Seri Mohamad Hasan antara pemimpin generasi baharu dalam UMNO yang dilihat mempunyai integriti dan kewibawaan untuk menerajui parti itu ke peringkat seterusnya.

Ketika pada pemimpin lain berhadapan dengan kes-kes mahkamah walaupun disifatkan sebagai dakwaan politik dan persepsi-persepsi yang memberikan imej tidak baik kepada parti, Mohamad atau Tok Mat merupakan alternatif terbaik untuk menerajui parti.

Sudah tentu sokongan kepada Tok Mat adalah pemimpin muda yang mempunyai kewibawaan tersendiri seperti Khairy Jamaludin, Dr. Ashraf Wajdi Dasuki dan Shahril Hamdan.

Mereka ini ada pelapis yang bakal meneruskan perjuangan dalam UMNO. Itupun jika mereka tidak terpengaruh dengan tawaran-tawaran daripada parti lain.

Untuk itu kehadiran Tok Mat di peringkat persekutuan sangat penting untuk memastikan peranannya sebagai antara peneraju dalam parti tidak tenggelam.


Malah kedudukan beliau sekarang sebagai Timbalan Presiden UMNO sepatutnya meletakkan beliau pada kedudukan di Parlimen.

Bukan mahu memperkecilkan atau memperlekehkan kedudukan Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi sebagai salah seorang pemimpin parti yang mempunyai pengaruh besar dalam kerajaan, Tok Mat selayaknya berada di Parlimen.

Sebab itu apabila beliau menyuarakan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ramai yang melihat itu sebagai wajar.

Memang sebelum ini Tok Mat diangkat ke dalam politik daripada seorang tokoh korporat untuk menerajui negeri iaitu sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, dan sejak itu juga beliau berakar umbi di DUN Rantau dalam Parlimen Rembau.

Tetapi dengan kedudukannya sekarang dalam parti dan parti itu sendiri memerlukan pemimpin yang ada integriti dan wibawa maka eloklah beliau dibenarkan bergerak ke Parlimen khususnya Parlimen Rembau.

Ini bukan soal untuk mengetepikan atau menyingkarkan sesiapa. Memang sekarang Khairy Jamaludin merupakan Ahli Parlimen Rembau, tetapi rasanya beliau boleh memberi laluan kepada Tok Mat atas kedudukannya sebagai Timbalan Presiden Parti.

Khairy dengan imejnya yang diterima dan menjadi idola anak muda rasanya tidak sukar untuk mendapatkan sokongan jika beliau beralih ke kawasan lain terutamanya Parlimen Tampin.

Lagi pula Tampin sekarang di bawah Amanah dan penyandang daripada UMNO sebelum ini ialah Datuk Seri Shaziman.

Diharapkan akan berlaku perbincangan yang baik antara Khairy dengan Tok Mat supaya parti tidak kehilangan kedua-dua pemimpin penting ini.

Seperti kata Khairy di PRK DUN Slim semalam, perkara itu boleh di bawa berbincang kerana beliau dan Tok Mat dalam bahagian yang sama.

Tok Mat adalah ketua UMNO bahagian Rembau dan Khairy adalah timbalanya, jadi eloklah isu ini dibincangkan dengan teliti tanpa merugikan parti.

Bagi Khairy sendiri apa salahnya jika memberi laluan kepada Tok Mat dan beliau beralih ke Parlimen lain yang rasanya sokongan tetap sama.

Berbincanglah secara ‘adik-beradik’ supaya hasilnya memberi kelebihan kepada parti. – SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button