NasionalPolitikUncategorized

“Kalau di sana dah tak mahu di sini, di sana boleh pergi… di sinun”

SAMA ada kelmarin, semalam, hari ini atau esok, isu yang menjadi topik perbualan berhubung kait dengan satu wawancara terbuka Tan Sri Annuar Musa yang mana beliau berkata, beliau tidak yakin UMNO boleh menang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang yakni yang ke-15 jika parti itu tidak bekerjsama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah satu pandangan yang boleh ditafsirkan dengan pelbagai pemahaman politik.

Dalam hantaran Facebook Tun Sri Lanang, pada hemat beliau, rakyat bukan bodoh untuk menilai senario politik yang berlaku sejak negara bukan lagi ditadbir oleh Barisan Nasional (BN).

Selama BN menjadi pentadbir negara, apa yang BN tidak pernah lakukan untuk rakyat, catat Tun Sri Lanang dalam bentuk pertanyaan.

“Dari membina institusi pengajian tinggi awam bertaraf university sehinggalah kepada pembinaan masjid dan surau dilakukan oleh BN secara keseluruhan.

“Berpuluh anak Melayu diberi biasiswa dan pinjaman pendidikan sehingga menjadi orang besar dalam negara sendiri. Dari orang miskin sehinggalah orang kaya, semuanya mendapat manfaat daripada pentadbiran BN suatu ketika dahulu,” kata Tun Sri Lanang.

Kemudian datang Pakatan Harapan (PH) yang mana kita semua menyedari bahawa gabungan PH adalah terdiri daripada parti-parti politik yang sewaktu BN berkuasa sebagai pemerintah, adalah terdiri daripada parti-parti pembangkang.

Catat Tun Sri Lanang, datang PH, kuyup. Konotasi kuyup boleh sahaja dimaksudkan kecil, menguncup, basah dan tidak berkembang.

Ekonomi kuyup, catat Tun Sri Lanang sambil menambah kalam, pecat penjawat awam, pindah harta pendeposit (penyimpan atau pencarum) Tabung Haji tanpa izin atau kebenaran para pendeposit, pelabur lari, hutang bertambah dan sampai ke hari ini, umpama lagu penyanyi wanita tempatan bernama Azharina, Elegi Sepi!

Setuju atau tidak dengan catatan Tun Sri Lanang, hutang bertambah dan rakyat menderita.

“Masuk Pakatan Nasional (PN), bekas ahli PH, diberi nyawa politik. Jadi Perdana Menteri (PM) tetapi bawa budaya PH yang penuh dengan hasad dengki dan dendam kesumat,” dakwa Tun Sri Lanang secara lantang tanpa tapisan.

Oleh itu, kata Tun Sri Lanang lagi, untuk BN mentadbir semula negara ini, beliau yakin BN boleh menang. Menang bukan sahaja di mata dan hati rakyat tetapi menang pilihanraya akan datang.

Rakyat tahu menilai yang manakah satu intan, yang mana satukah permata dan yang mana satukah kaca.

“Saya yakin orang yang tidak yakin macam Tan Sri Annuar Musa sebenarnya mindanya sudah kalah dan menyerah sebelum berjuang.

“Apabila minda kita mengatakan kita akan kalah maka sebenarnya dia itulah pembawa musibah kepada perjuangan,” catat Tun Sri Lanang.

Memetik kenyataan Tan Sri Annuar Musa, Annuar berkata, “Sebelum hendak berkhayal, hendak ada calon Perdana Menteri, kena tanya dulu parti (UMNO) boleh menang ke tidak.”

Untuk pertanyaan Annuar di atas, dibawah ialah jawapan Tun Sri Lanang: “Kenapa tidak boleh menang? Apa salah UMNO?

“Rakyat miskinkah sewaktu UMNO/BN mentadbir negara? Apakah kamu miskin Annuar Musa?”

Dan Annuar Musa berkata lagi, “Tapi saya kena tanya pilihan raya sudah dekat ini kalau tak bersama PN hendak bersama siapa?”

Jawapannya adalah seperti berikut oleh Tun Sri Lanang, “ Kenapa BN perlu dengan sesiapa? Perlu berdamping dengan sesiapa?

“Sejak Merdeka, BN dibina atas nama Perikatan, hanya ada tiga parti komponen sahaja iaitu UMNO, MCA dan MIC.

“Selepas tahun 1969, nama Perikatan diberi penjenamaan baharu atau diberi branding baru iaitu Barisan Nasional dan lebih banyak parti kecil, masuk di bawah Barisan Nasional.

“Apabila BN kalah pada PRU-14 maka ramai yang tidak mahu bersama lagi kerana mencari ghanimah tempat lain.

“Silakan. Jadi Annuar Musa, apa nak takut BN lawan sendirilah jika parti Pas tidak mahu bersama-sama dan memilih untuk bersama PPBM.

“BN masih ada MCA dan MIC, ada PBRS dan parti-parti lain. Jadi umpama dialog dari filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Tiga Abdul yang begini bunyinya: Kalau di sana dah tak mahu di sini, di sana boleh pergi… di sinun.” – SM

(Visited 1,269 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button