Nasional

Kebajikan anak-anak Allahyarham Mohd Diya diberi perhatian

KEBAJIKAN empat orang anak Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh iaitu anggota bomba yang lemas semasa operasi menyelamat mangsa banjir di Sungai Putat, Melaka akan diberi perhatian.

Perkara ini disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Syed Fazmi Sayid yang mewakili kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengadakan lawatan ke kediaman keluarga arwah di Taman Krubong Jaya pada Jumaat.

“Perdana menteri berduka cita akan kehilangan anggota bomba dalam operasi menyelamat tersebut.

“Kami di sini ingin menyampaikan sumbangan peribadi daripada perdana menteri dan Ranhill iaitu sebuah syarikat korporat pembekal kuasa dan tenaga turut membantu pendidikan anak-anak arwah dan menjadikan mereka sebagai anak angkat,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Fazmi turut menjelaskan bahawa pendidikan anak sulung arwah berumur 18 tahun yang ingin menyambung pengajian di Kolej Vokasional dalam jurusan automotif akan diberi perhatian.

“Kementerian Pendidikan juga telah dihubungi supaya mereka mengambil maklum akan hal ini dan menolong anak beliau untuk masuk ke kolej,” ucapnya.

Allahyarham Mohd Diya, 46, dihanyut oleh air deras menyebabkan nyawanya terkorban dalam kejadian pada pukul empat petang Rabu lalu dalam misi menyelamatkan mangsa banjir.

Allahyarham disahkan meninggal dunia pada pukul 3.11 pagi Khamis selepas dikejarkan ke Hospital Melaka. – SM

(Visited 192 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button