Berita

Raja Muda Perlis berangkat ke kempen bulan kanser zon Kangar

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri kempen ‘Oktober Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia Peringkat Zon Kangar’ anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Perlis yang diadakan di Masjid Tun Abdul Razak Repoh, Kangar.

Sesi ceramah yang dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) itu disekalikan dengan ‘Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke 30 bagi tahun 2021’.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Di program yang sama Tuanku Raja Muda berkenan menyerahkan agihan zakat MAIPs kepada seramai 28 orang asnaf terpilih daripada kalangan anak kariah masjid tersebut melalui amilnya Ghazali Sabu berjumlah penuh sebanyak RM11,200. Masing-masing menerima RM400 setiap seorang.

Terdahulu daripada itu Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Berseri, Dr. Mohd Fozi Kamarudin dalam sesi ceramah beliau memaklumkan bahawa golongan lelaki juga perlu tahu serta memahami berkaitan penyakit kanser payudara kerana ianya merupakan suatu yang serius dan boleh membawa kepada kematian jika tidak dirawat dengan sebaiknya.

Tambah beliau, ini kerana golongan lelaki merupakan suami, ayah, anak, adik, abang mahupun saudara kepada wanita di sekeliling mereka dan menjadi tanggungjawab golongan lelaki menyampaikan maklumat berkaitan penyakit ini dan memahami kesan serta cara merawatinya.

Kita harus sedar bahawa lelaki juga berisiko menghidapi kanser payudara dan amat sedikit daripada kita yang mengetahui mengenainya.

Jelas beliau lagi, rawatan awal perlu dilaksanakan bagi mencegah kanser daripada merebak. Masyarakat hari ini tidak begitu mengambil berat dan mencari informasi tentang kanser. Kebanyakannya lebih mempercayai rawatan alternatif dengan mengambil inisiatif sendiri berjumpa bomoh, perubatan kampung dan sebagainya bagi merawat kanser tanpa mendapatkan rawatan yang betul dan tepat di klinik mahupun hospital yang disediakan oleh Kerajaan.

Mohd Fozi juga menambah bahawa pada tahap 1 dan 2, rawatan berkaitan kanser ini lebih mudah dengan melaksanakan pembedahan kecil bagi membuang ketulan tersebut. Namun jika ianya dibiarkan tanpa rawatan yang sepatutnya dan sudahpun merebak serta membesar, maka pembedahan yang lebih besar terpaksa dijalankan dan mungkin ke peringkat pembuangan sebahagian payudara.

“Perlaksanaan radioterapi dan kimoterapi turut perlu dilaksanakan bagi memastikan pesakit selamat dan mengelakkan kehilangan nyawa”, jelas beliau.

(Visited 183 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button