Sukan

Adif Haikal muncul juara Kejohanan Golf Amatur Melaka Ke-53

Pemain kelahiran Melaka, Muhammad Adif Haikal Md. Hazan, 15, muncul juara pada aksi terakhir Kejohanan Golf Amatur Melaka Ke-53 di Kelab Golf Tiara & Country di sini hari ini.

Bagaimanapun, pemain skuad Sukan Malaysia (Sukma) negeri diheret hingga penentuan play-off sebelum dinobatkan selaku juara selepas masing-masing terikat dengan 219 pukulan bersama rakan senegeri, Wan Hasnul Daniel Wan Omar, 18.

Pada permainan play-off lubang 18 lapangan Woodland par-4, Muhammad Adif Haikal bergelar juara selepas membenam birdie manakala Wan Hasnul Daniel pula sekadar mencatat par.

Kemenangan buat juara SportExcel bawah 15 tahun tahun lalu di Kelab Golf Ayer Keroh & Country (AKCC) menerima hadiah wang tunai RM1,500 dan Piala Pusingan.

Buat Wan Hasnul Daniel pula menerima RM1,200 selepas muncul naib juara manakala tempat ketiga menjadi milik Zia Iqmal Abdul Rashid mendapat RM900.

Muhammad Adif Haikal pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai berkata, ini adalah kemenangan pertamanya di kejohanan ini.

“Ini adalah kemenangan paling bermakna kerana saya tidak bermain mengikut kategori umur.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada Persatuan Golf Negeri Melaka (PGNM) yang banyak membantu saya sejak berkecimpung dalam sukan golf ketika berusia 10 tahun,” ujarnya ketika ditemui selepas penyampaian hadiah.

Hadiah kepada pemenang telah disampaikan Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor. Hadir sama Naib Presiden MGA, Datuk Merina Gan dan Setiausaha Agung MGA, Datuk Zulkifli Ismail.

Sementara itu bagi kategori wanita, pemain kelahiran Johor, Pang Hee Jie, 19, dinobatkan selaku juara selepas keseluruhan mengumpul enam bawar par 210 pukulan.

Kemenangan itu membolehkan dia menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1,300 dan sebuah trofi.

Pemain remaja dari China, Yan Yinuo pula muncul naib juara dengan catatan 216 pukulan menerima RM1,000 manakala pemain Sabah, Charlayne Chong pula melakar 218 pukulan berada di tempat ketiga mendapat RM700. – SM

(Visited 442 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button