Sukan

Shevon Lai dimasukkan ke hospital kerana denggi

PEMAIN beregu campuran negara, Shevon Lai terpaksa akur ketinggalan menjalani latihan awal badminton di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara kerana menghidap demam denggi.

Pemain berusia 27 tahun itu kini sedang menjalani rawatan di sebuah hospital dan ekoran itu, dia dijangka ketinggalan bahagian awal kem latihan Road to Tokyo (RTT) yang bermula 1 Jun ini.

Memetik laporan BERNAMA, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, pemain itu terpaksa direhatkan selama dua minggu.

“Dia (Shevoon) akan menyertai kem latihan  RTT sebaik sahaja pulih sepenuhnya daripada denggi. Semoga cepat sembuh, Shevon,” kata BAM dalam laman Facebook rasminya, baru-baru ini.

Sementara itu, 56 individu termasuk pemain, rakan sparing, jurulatih, pegawai dan kakitangan sokongan dijangka kembali menjalani latihan di bawah program RTT di ABM selepas mendapat kelulusan khas daripada kerajaan.

Kelulusan itu perlu kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa sehingga 9 Jun ini menyebabkan kekangan terhadap aktiviti latihan dan semua pihak perlu akur di atas perintah tersebut.

Pemain badminton kelahiran Selangor itu yang berpasangan dengan Goh Soon Huat berada di ranking ke-12 dunia.

Manakala Shevon dan pasangannya, Soon Huat berada pada kedudukan ke-11 dalam ranking “Race to Tokyo” sebelum Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membekukan ranking kerana pandemik COVID-19 dalam Mac lalu.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pula berada dalam kedudukan yang baik untuk menempah tiket mereka ke Tokyo apabila berada di ranking ketujuh “Race to Tokyo”, tertinggi bagi beregu campuran di negara ini, sementara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing berada di ranking ke-13.

Hanya mereka yang berada di ranking lapan teratas akan layak ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.  – SM

(Visited 168 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button