Anak lelaki penyanyi Azian Mazwan Sapuan meninggal dunia pagi tadi
KUALA LUMPUR – Belum pun reda dengan kejutan berita kematian anak lelaki kedua penyanyi Nora Ariffin, Muhammad Syakir Alif Johan, 20, pada pagi kelmarin, Sabtu, hari ini, anak penyanyi Azian Mazwan Sapuan, Mohammad Aqil Zulkarnain, juga berusia 20 tahun pula dijemput Ilahi.
Allahyarham Mohammad Aqil meninggal dunia di Hospital Selayang pada pukul 11.30 pagi tadi.
Terdahulu, allahyarham Mohammad Aqil dimasukkan ke hospital setelah ditimpa kemalangan jalan raya pada 22 November lalu.
Menurut Azian Mazwan ketika dihubungi wartawan SUARA MERDEKA, arwah menunggang motosikal ketika kemalangan berlaku.
“Dia sempat memberitahu ayahnya, dia cuba mengelak sebuah kereta, menyebabkan motosikal yang ditunggangnya terbabas.
“Kejadian berlaku di lokasi Bangi-Kajang,” kata Azian Mazwan dalam nada tenang.
Sewaktu bercakap dengan SUARA MERDEKA, Azian Mazwan berada di Unit Forensik Hospital Selayang, menunggu proses dokumentasi menguruskan jenazah allahyarham Mohammad Aqil.
Allahyarham Mohammad Aqil ialah anak lelaki keempat Azian Mazwan. Allahyarham mengalami kecederaan parah di bahagian abdomen ekoran kemalangan tersebut.
Allahyarham sebelum ini dibius untuk berada dalam keadaan koma bagi memulihkan hati dan limpa.
Jenazah allahyarham Mohammad Aqil akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di Putrajaya kira-kira selepas waktu Asar hari ini.
“Saya mahu jenazah dikebumikan secepat mungkin. Kalau boleh selepas Asar hari ini,” kata Azian Mazwan.
Salam takziah buat Azian Mazuan sekeluarga daripada warga SUARA MERDEKA. – SM