Hiburan

Restoran Puteri Ramziela nafas dan nadi dua wanita

DAMANSARA – Jatuh bangun dalam dunia perniagaan adalah satu perkara biasa yang dihadapi oleh sesiapa sahaja yang menceburi bidang ini.

Apa jua pilihan kerja atau kerjaya, ada pasang dan surutnya. Sedangkan air laut pun ada pasang dan surut, apa tah lagi dalam usaha setiap insan di muka bumi ini untuk mencari rezeki.

Nama Ramziela yang bergelar Datin, bukanlah satu nama yang asing dalam industri hiburan tempatan. Begitu juga nama Habsah Hassan atau lebih mesra dengan panggilan Kak Chah.

Kak Chah amat dikenali sebagai penulis lirik lagu-lagu hebat yang pernah didendangkan oleh penyanyi-penyanyi tanah air terutamanya allahyarham Sudirman Haji Arshad.

Kalau nak ikutkan, lebih 1,000 buah lirik dihasilkan oleh Kak Chah untuk penyanyi-penyanyi tanah air.

Namun masa beredar membuatkan Ramziela lebih memberi tumpuan kepada perniagaan iaitu food business. Manakala Kak Chah juga memperlahankan rentak menghasilkan lirik dan meneruskan restoran Puteri yang terletak di Jalan Cahaya, Taman Tun Dr. Ismail.

Duduk cokoh di atas bukit, Restoran Puteri yang membuka pintu kepada pencinta makanan untuk menjamu selera bermula pada tahun 2003.

Ketika itu, Kak Chah mengusahakan restoren tersebut dengan aktres Rubiah Suparman.

Lima tahun pertama restoran tersebut beroperasi, kata Kak Chah, diterima baik dan mendapat sambutan daripada kalangan pelanggan.

Akan tetapi, adat manusia yang tidak senang melihat kejayaan orang lain, maka restoran itu menjadi sasaran permainan magis. Maksudnya di sini, ada yang melakukan ‘sesuatu’ ke atas restoran itu agar orang ramai kabur penglihatan.

Kata Kak Chah, ketika ‘magis’ itu berlaku, ada pelanggan yang mengatakan, restoran itu ditutup operasinya sedangkan pada hakikatnya, dibuka seperti biasa.

“Restoran Puteri Ramziela memerlukan sokongan daripada semua orang. Saya pula, tidak boleh hidup tanpa kawan-kawan.

“Ramai kawan tetapi tidak bagi sokongan. Oleh itu, saya memerlukan sokongan daripada semua kawan-kawan dan pelanggan,” kata Kak Chah dalam ucapan ringkasnya pada majlis petang tadi yang turut dihadiri oleh rakan-rakan artis antaranya penyanyi Reena Nicky, Datin Paduka Julie Sudiro, Datuk Johari Salleh, Datuk Seri Maria Menado dan ramai lagi.

Itu antara sedikit perkongsian Kak Chah kepada hadirin yang hadir pada perasmian Restoran Puteri Ramziela dalam majlis Hi-Tea yang diadakan petang tadi.

Restoran Puteri Ramziela ‘berwajah’ baharu dengan penyatuan Kak Chah dan Ramziela secara bersama, mengusahakan restoran ini.

Kisah Ramziela sebelum melepaskan restoran yang diusahakannya di Jalan Wan Kadir, juga di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), terpaksa berhadapan dengan sifat iri hati manusia.

Aduan yang tidak munasabah dibuat untuk melihat Ramziela’s Delights yang diusahakannya bersama suami, gulung tikar. Namun itu tidak pernah mematahkan semangat Ramziela untuk meneruskan bidang perniagaan.

Cuma apabila keadaan kesihatan suaminya tidak begitu mengizinkan, maka Ramziela’s Delights terpaksa dilepaskan agar beliau boleh memberi tumpuan menjaga sang suami.

Hari ini, Ramziela ‘bangkit’ dan bergabung dengan Kak Chah, meneruskan langkah melalui Restoran Puteri Ramziela.

Sajian masakan yang enak, air tangan daripada Ramziela dan Kak Chah, menanti para pengunjung. Menu pilihan wartawan Suara Merdeka secara peribadi, pastilah siput sedut masak lemak cili api.

Makan di Restoran Puteri Ramziela pasti memuaskan hati. Ini adalah restoran berkonsepkan kekeluargaan dan sambil menjamu selera, pelanggan dihiburkan dengan nyanyian Datin Ramziela. – SM

(Visited 872 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.
Back to top button