Kepada Allah saya berserah, saya mohon maaf – Dr. Zulkifli
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr. Zulkfili Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif Covid-19 hari ini menyerahkan segalanya kepada Allah.
Zulkifli yang menjaga hal ehlwa agama dalam satu hantaran di media sosial meminta maaf atas sebarang kelemahan dan kekurangan yang ada pada dirinya.
“Kepada Allah saya berserah, kepadaNya jua saya memohon pertolongan.
“Seperti yang telah saya maklumkan dalam kenyataan pada hantaran sebelum ini, saya telah disahkan positif oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Saya memohon maaf atas sebarang bentuk bentuk kelemahan dan kekurangan daripada diri saya,” kata Zulkifli.
Beliau yang kini sedang dirawat di hospital berkata, bantuan Mus’adah Khas Siswa Siri 2 seperti yang telah dijanjikan kepada siswa yang terkandas tetap akan diteruskan oleh agensi-agensi agama di kementeriannya.
Program Musa’adah COVID-19 yang telah diaturkan oleh kementerian juga akan terus dijalankan seperti biasa di seluruh Malaysia.
Menurut Zulkifli, masih ramai yang memerlukan bantuan kewangan, barangan asas, makanan dan lain-lain dalam tempoh yang dianggap sebagai getir.
Katanya, sejak Mac lalu pelbagai bantuan telah disalurkan tanpa mengira agama dan bangsa.
“Pandemik COVID-19 benar-benar mengajar saya erti kebersamaan. Saya akan pastikan semua bantuan sampai kepada sasaran, insya-Allah.
“Saya berdoa kepada Allah SWT, semoga Allah SWT selamatkan dan sembuhkan rakyat Malaysia yang menghidap COVID-19 termasuk diri saya.
“Saya sayang anda semua. Patuhi semua SOP (prosedur operasi standard) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara di mana jua anda berada,” pesan Zulkifli.
Beliau sekali lagi mengingatkan orang ramai yang telah menghadiri majlis yang melibatkan kehadiran dirinya sepanjang 24 September hingga 4 Oktober lalu diminta untuk menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di klinik kesihatan dengan segera.
“Alhamdulillah, sehingga saat ini keadaan kesihatan saya adalah bertambah baik. Terima kasih kepada Menteri Kesihatan Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dan para doktor serta barisan hadapan yang amat prihatin dengan keadaan saya,” kata Zulkifli.-SM