Nasional

Sabah perluas Pusat Produk IKS tahun depan

KERAJAAN negeri Sabah bercadang untuk memperluas konsep Pusat Produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) atau Kedai IKS di beberapa daerah utama di Sabah pada tahun depan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah berkata, Pusat Produk IKS yang dikendalikan oleh Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan itu diwujudkan bagi memudahkan usahawan IKS tempatan mempamerkan dan memasarkan produk-produk mereka.

“Setakat ini, Pusat Produk IKS Sabah mempunyai lebih 1,000 jenis produk IKS yang boleh dijual,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Jaujan Sambangkong (Warisan-Sulabayan) yang ingin tahu langkah kerajaan negeri untuk mengatasi masalah kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan IKS kesan daripada pandemik COVID-19.

Joachim berkata, kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah proaktif untuk membantu mengatasi masalah dihadapi usahawan IKS yang terkesan termasuk menyediakan program Bantuan Usahawan IKS (BAIKS), iaitu geran pembelian mesin dan kelengkapan serta pembungkusan produk.


Setakat ini, sejumlah RM10 juta telah dibelanjakan bagi membantu usahawan terbabit memajukan perniagaan masing-masing, dengan seramai 1,070 daripada golongan itu menerima manfaat program berkenaan, katanya.

“Dengan adanya bantuan ini, maka para usahawan mampu untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran dan dapat mengekalkan pekerja lama serta mengambil pekerja tambahan,” katanya.

Joachim berkata kerajaan Sabah turut menyediakan bantuan secara sekali beri berjumlah RM 1,000 untuk meringankan beban aliran kewangan usahawan mikro dan kotej, dengan seramai 20,000 usahawan telah mendapat manfaatnya.

Beliau berkata kementeriannya juga telah melancarkan GoBiz bagi membantu usahawan IKS memasarkan produk secara dalam talian, yang mana sehingga kini, platform e-dagang itu telah membantu meningkatkan pemasaran produk kepada lebih 155 usahawan IKS Sabah. – BERNAMA

(Visited 109 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button