Pengguna mahu KPDNHEP senarai jenama minyak masak dijual RM37.40
Sebahagian besar pasaraya di Melaka dilihat mematuhi penguatkuasaan harga maksimum minyak masak sawit tulen dalam botol lima kilogram (5kg) yang mulai hari ini dijual pada harga baharu iaitu RM34.70 sebotol.
Tinjauan mendapati pasaraya tidak lagi menjual minyak tersebut pada harga sebelum ini antara RM39 hingga RM42 sebelum pelaksanaan harga baru RM34.70 yang ditetapkan kerjaan bermula hari ini sehingga bulan depan.
Walaupun harga baharu minyak masak sawit RM34.70 namun terdapat juga pasaraya di Peringgit dekat sini menjualnya pada harga lebih rendah iaitu RM34.69.
Bagi minyak masak campur 5kg yang tidak termasuk dalam penguatkuasaan harga maksimum pula dilihat masih kekal pada harga antara RM45.29 hingga RM47.29 sebotol.
Bagi seorang pengguna, Noorsuliana Ujang, 36, dari Paya Luboh, Tangga Batu meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengeluarkan senarai minyak sawit tulen yang diturunkan harga itu.
Menurutnya, senarai itu amat perlu bagi memudahkan pengguna mengenal pasti jenama minyak masak tersebut dan tidak tersalah pilih minyak masak yang tidak dikawal harganya.
“Kalau di pasaraya kita keliru kerana banyak sangat jenama minyak masak di rak serta bercampur-campur dengan lain. Sekurang-kurangnya bila tahu jenamanya mudah untuk kita membelinya,” ujarnya.
Katanya, penguatkuasaan harga baharu minyak masak tersebut sedikit melegakan walaupun harga tersebut dianggap masih tinggi bagi mereka yang berpendapatan di bawah RM2,000.
Sementara itu seorang suri rumah Hamidah Pit, 53, dari Kampung Baharu Klebang Kecil melahirkan rasa lega dengan keputusan kerajaan menurunkan harga minyak masak sawit kepada RM34.70.
Menurutnya, dia jarang menggunakan minyak masak peket kerana lebih suka menggunakan minyak masak botol yang disifatkan lebih bersih.
“Dulu harga minyak masak botol lima kg sangat mahal iaitu pada harga RM45.29. Saya sebagai suri rumah memang terkesan dengan harga sebelum ini.
“Cuma yang saya keliru minyak masak jenama apa sebenarnya yang diturunkan harga. Jika kerajaan keluarkan senarai minyak masak itu mudahlah bukan saya sahaja tetapi orang lain hendak membelinya,” ujarnya.
Untuk rekod, sebelum ini Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, harga itu ditetapkan susulan pelaksanaan harga maksimum minyak berkenaan secara bulanan berdasarkan harga bagi satu tan metrik minyak sawit mentah (CPO) diumum oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB),
dengan harga RM4,063 bagi bulan Ogos.
Penguatkuasaan harga berkenaan di kedai-kedai hendaklah mula dilaksanakan tujuh hari kemudian, bermakna 8 Ogos minyak masak dalam botol 5kg yang sekarang dijual dari RM39 hingga RM42 hendaklah dijual pada harga maksimum RM34.70.
Harga berkenaan hanya berkuat kuasa untuk Semenanjung Malaysia manakala KDPNHEP pula akan mewartakan harga tersebut. – SM