BeritaPolitik

Sumbangan diberi selepas guna duit sendiri untuk berkempen – Ku Nan

“DENGAN rasa rendah diri, ingin menyatakan bahawa saya tidak memerlukan RM2 juta untuk tujuan peribadi.”

Demikian kenyataan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan) ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.

Menurut Ku Nan, wang tersebut adalah sumbangan seorang ahli perniagaan, Chai Kin Kong sebagai sumbangan politik.

RM2 juta itu diberi pada 2016 untuk membantu UMNO ketika menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Bagaimanapun beliau menjelaskan Chai Kin Kong sebelum itu tidak menyatakan jumlah sumbangan yang akan diberikan.

Related Articles

Sebaliknya cuma berkata akan menyumbang nanti.

“Ketika itu, dia tidak menyatakan jumlah kepada UMNO ataupun BN, tetapi berkata akan memberi sumbangan nanti.

“Kemudian dia bertemu saya semula dan menyatakan akan menyumbang RM2 juta bagi tujuan kedua-dua PRK itu,” katanya seperti dilaporkan portal Free Malaysia Today (FMT) hari ini.

Namun, Ku Nan turut menyatakan, pada asalnya Pengarah Aset Kayamas itu pernah berkata kepadanya bahawa beliau tidak mampu mencari RM2 juta dalam masa yang singkat bagi menghadapi PRK itu.

Guna duit sendiri tampung perbelanjaan kempen PRK

Tambahnya, sebelum menerima sumbangan terbabit, Ku Nan menggunakan wang daripada akaunnya sendiri untuk menampung perbelanjaan kempen UMNO dan Barisan Nasional (BN) di dua kawasan PRK itu.

“Sebelum menyertai Kabinet pada 2001 seperti yang diminta Perdana Menteri ketika itu, saya adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya.

“Perniagaan saya adalah seperti hartanah, pembalakan, perindustrian, perdagangan, pertanian, hotel, penternakan serta makanan,” ujarnya.

Kemudian Ku Nan memberitahu lagi, Cai Kin Kong menyerahkan sumbangan tersebut hanya beberapa hari sebelum hari mengundi di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang berjalan serentak pada 18 Jun 2016.

“Beliau menyerahkan cek bernilai RM2 juta beberapa hari sebelum mengundi, sebelum itu saya perlu guna duit sendiri untuk tampung perbelanjaan UMNO.

“Perbelanjaan dimaksudkan termasuklah perbelanjaan pelbagai dan aktiviti komuniti di Kuala Kangsar dan Sungai Besar,” jelasnya.

Sebelum itu, seorang pegawai bank dari CIMB, Khairolrony Kamarudin memberitahu kepada mahkamah RM2 juta itu adalah daripada Aset Kayamas Sdn. Bhd.

Cek tersebut kemudian dimasukkan ke akaun Tadmansori Holding Sdn. Bhd..

Menurut Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhamad Akmaludin Abdullah, Ahli Parlimen Putrajaya itu merupakan pemegang saham terbesar Tadmansori Holding.

Sementara itu, Peguambela, Tan Hock Chuan terdahulu menjelaskan, pembelaan akan menunjukkan bukti bahawa Ku Nan tidak melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, Ku Nan didakwa di bawah dengan tuduhan menerima suapan sebagai seorang penjawat awam ketika itu.

“Kami akan memanggil tiga lagi saksi untuk pembelaan dalam kes ini,” katanya.

Terdahulu, Ku Nan dituduh menerima RM2 juta daripada Cai Kin Kong daripada Aset Kayamas.

Syarikat tersebut ketika itu juga didakwa mempunyai kaitan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan ketika itu.

Mohon merakam pengisytiharan dokumen dan harta

Tambah Tan Hock Chuan, pihaknya akan memohon kebenaran daripada mahkamah untuk merakam prosiding pengisytiharan dokumen dan aset oleh Ku Nan.

“Dokumen tersebut adalah sensitif dan penting untuk pembelaan,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim memberitahu mahkamah pihaknya mahu melihat permohonan rasmi dibuat sebelum kebenaran diberi.

Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan bersambung pada 20 Januari yang turut akan mendengar permohonan pembelaan untuk membawa kamera ketika prosiding. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button