Nasional

Rakyat semakin menerima konsep Malaysia Madani – Fahmi

KUALA LUMPUR: Sejumlah 86.9 peratus daripada 8,860 responden di seluruh negara menyatakan mereka bersetuju dengan konsep Malaysia Madani, menurut Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata hasil kaji selidik yang dijalankan Jabatan Penerangan kira-kira lima bulan lepas itu turut mendapati 68.1 peratus responden menyatakan bahawa mereka memahami konsep berkenaan.

“Ini adalah petanda positif … di pihak kementerian kita ambil maklum dan berusaha untuk memastikan bahawa ia bukan seperti Yang Berhormat Senator katakan tadi, sekadar retorik.

” … ini memang jelas daripada usaha dan ikhtiar kerajaan dari segi ekonomi, menjaga tatasusila dalam kalangan masyarakat, keharmonian, perpaduan, keutuhan masyarakat itu sendiri dan diterjemah lebih daripada semata-mata slogan atau konsep. Alhamdulillah pada waktu ini, hasil ekonomi dan pelaburan yang masuk dan sebagainya memang jelas ia mendatangkan hasil yang positif kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Azhar Ahmad yang ingin tahu sejauh mana hasil usaha kerajaan bagi menyebarkan informasi serta kefahaman kepada rakyat mengenai konsep Malaysia Madani.

Selain itu, Fahmi berkata hasil kaji selidik Jabatan Penerangan pada 28 Jan hingga 5 Feb lepas, iaitu kira-kira seminggu selepas Malaysia Madani diperkenalkan dan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebanyak 79.9 peratus daripada 8,860 responden mempunyai pengetahuan mengenai perkara itu.

Sementara itu, beliau berkata pelbagai program sedang dan akan dilaksanakan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui jabatan serta agensi termasuk Kita Madani, Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA), Hebahan Info On Wheels (IOW) dan persembahan Edutainment (didik hibur).

Beliau berkata hebahan melalui media sosial dan digital turut dilaksanakan melibatkan perkongsian maklumat infografik dan videografik daripada pelbagai kementerian dan agensi-agensi kerajaan menerusi platform media digital seperti Instagram, Facebook, YouTube dan TikTok.

Katanya, setakat 25 Jun 2023, sebanyak 721 hantaran merangkumi pelbagai mesej Malaysia Madani disebar luas di semua platform media sosial rasmi Jabatan Penerangan, hantaran itu telah mendapat 1.3 juta reach dan 439,000 engagement.

Fahmi berkata Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) turut menyebarluaskan konsep Malaysia Madani melalui pelbagai program.

“(Antaranya) program bual bicara dan kapsul Malaysia Madani oleh RTM yang melibatkan enam saluran televisyen dan 34 stesen radio termasuk stesen negeri dan daerah serta disampaikan dalam pelbagai bahasa.

“Bernama pula menggunakan semua platformnya iaitu Bernama Wires, Bernama TV dan Bernama Radio untuk membuat hebahan meluas kempen penerangan yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan. Finas juga telah menerbitkan Pesanan Khidmat Awam (PKA) bertajuk ‘Pengertian Logo Malaysia Madani’ yang telah ditayangkan di semua platform penyiaran dan platform digital,” katanya.

Beliau berkata penerapan mesej dan informasi mengenai konsep Malaysia Madani akan dilaksanakan secara berterusan supaya seluruh rakyat dapat memahami dan menghayati semangatnya dan seterusnya bersama-sama mengangkat semula martabat negara di persada dunia.

Ditanya Senator Datuk Lim Pay Hey mengenai usaha kerajaan bagi menggalakkan rakyat mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan, Fahmi berkata tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini ialah “Malaysia Madani” dan berasaskan konsep itu.

“Insya-Allah, kita akan melancarkan sambutan Hari Kebangsaan pada 15 Julai bertempat di Tambun dan dari situ akan ada sejumlah aktiviti serta program.

“Insya-Allah saya usaha untuk pastikan Yang Berhormat Senator-senator sekalian akan turut terlibat dan semestinya sambutan pada tahun ini akan diadakan dengan semangat luar biasa, ia akan diadakan di Putrajaya pada tahun ini,” katanya.

(Visited 135 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button