Nasional

500 kotak makanan diagihkan di DUN Semambu

DEMI memastikan golongan kurang berkemampuan termasuk warga emas yang terjejas ekoran penularan wabak Covid-19 terbela. Sebanyak 500 kotak makanan diserahkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu untuk diagihkan kepada golongan sasar.

Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid, berkata, selain kotak makanan, penerima turut diberikan tunai RM100 menerusi Peruntukan Bantuan Prihatin Covid-19 Kerajaan Pahang yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“JKKK dikehendaki mengenal pasti penerima di kawasan mereka dan memastikan bantuan ini sampai kepada mereka yang benar-benar terjejas. Keutamaan bagi yang susah dan warga emas.

“Insya-Allah penyaluran bantuan akan diserahkan kepada semua JKKK dan selepas ini akan diteruskan lagi sehingga akar umbi. Mereka yang telah menerima bantuan Kerajaan Pahang bagi Fasa Satu atau bantuan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) tidak tersenarai,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan tersebut kepada Pengerusi JKKK terlibat.

Setiap penerima mendapat bantuan barangan makanan bernilai RM50 dan wang tunai RM100 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM75,000.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Tiram, Ab Rahaman Mohamad, 66, berkata, terima kasih kepada kerajaan Negeri Pahang di atas penyampaian sumbangan berkenaan.

“Kampung Tiram menerima 40 pek dan RM4,000 keseluruhan. Penerima bantuan akan dikenal pasti dengan cara kita berkunjung ke rumah penduduk dan bertanyakan keperluan mereka.

“Yang mana bekerja dan tidak dapat bekerja ekoran PKP ini, kita akan utamakan dulu. Nanti ada lagi bantuan kita serah pula kepada yang lain. Hal ini supaya mereka yang betul-betul terdesak dapat dibantu dan tidak ada yang terkecuali,” katanya.

Pengerusi JKKK Kampung Bukit Beirut, Nazaruddin Abd hassim, 44, berkata, pihaknya menerima 40 pek bantuan makanan beserta wang tunai yang akan disampaikan kepada 40 penerima di situ.

Jelasnya, senarai nama penerima dikenal pasti oleh JKKK dan selepas itu akan disemak pula oleh Pejabat Pegawai Daerah.

“Jika nama telah menerima bantuan MUIP dan bantuan kerajaan negeri bagi fasa pertama, kita ganti kepada penama lain yang layak.

“Kampung Bukit Beirut sebenarnya sekali dengan Kampung Bukit Ubi dan jumlah keluarga sekitar 600 buah keluarga. Kalau boleh kita nak bantu semua. Biar semua dapat belaka,” katanya. – SM

(Visited 413 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button