Nasionalpilihan

Kraftangan Malaysia anjur Festival Kraf Johor 2022

FKJ 2022 berlangsung selama 11 hari bermula pada 16 Disember sehingga 26 Disember 2022

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Kraftangan Malaysia mengadakan Majlis Perasmian Festival Kraf Johor (FKJ) 2022 bertempat di Padang (A) Akasia, Angsana Johor Bahru Mall. Majlis disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk Hajah Saraya binti Arbi, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Turut hadir Yang Berusaha Puan `Ainu Sham binti Haji Ramli, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia.

FKJ 2022 merupakan penganjuran kali ke-9 sejak mula dilaksanakan pada tahun 2011 dan merupakan ‘Marquee Event’ yang dinanti-nantikan oleh semua golongan masyarakat termasuklah usahawan, komuniti, penggiat dan pencinta kraf serta pelancong dari dalam dan luar negara.

Objektif penganjuran FKJ 2022 ini adalah memberi peluang perniagaan dalam memasarkan produk kraf Malaysia bagi meningkatkan pendapatan usahawan kraf, mempromosi produk usahawan kraf seluruh Malaysia terus kepada pengguna; dan mewujudkan kesedaran dan menanam minat pengguna terhadap produk kraf Malaysia.

Penganjuran FKJ 2022 berlangsung selama 11 hari bermula pada 16 Disember sehingga 26 Disember 2022 pada kali ini berjaya menghimpunkan penyertaan usahawan kraf dari bidang kraf Tekstil, Hasil Rimba, Hasil Logam, Hasil Tanah dan Aneka kraf seluruh negara melalui penyertaan seramai 217 orang usahawan kraf di seluruh negara termasuklah pameran dari agensi kerajaan dan swasta.  Sasaran nilai jualan FKJ 2022 sejumlah RM7.5 juta dengan mensasarkan seramai 50,000 orang kehadiran pengunjung.


FKJ 2022 mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik seperti Jualan Kraf, Pameran Khas ‘Ini Batik Malaysia’, Pameran dan Jualan Produk Komuniti Kraf, Pameran Institut Kraf Negara, Pameran Adiguru Kraf 2022, Pameran MYCRAFTSHOPPE, Demonstrasi dan Interaktif Kraf Batik Malaysia, Wacana Kraf ‘Ini Batik Malaysia’, Cita Rasa Malaysia Ku, Aktiviti Galakan Pengunjung dan Khidmat Iring.

Dalam pada itu, Yang Berbahagia Datuk Hajah Saraya binti Arbi, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut menyampaikan watikah pelantikan kepada tiga (3) orang Adiguru Kraf baharu bagi tahun 2022 dari bidang Kraf Tekstil Sulaman iaitu Sulaman Linangkit dan Sulaman Pis dari Sabah serta Sulaman Keringkam dari Sarawak. Watikah pelantikan Adiguru Kraf ini merupakan pengiktirafan atas sumbangan ilmu, kemahiran dan kepakaran yang tinggi dalam bidang penciptaan serta ketukangan produk kraf yang mempunyai identiti tempatan.

Yang Berbahagia Datuk Hajah Saraya binti Arbi, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berharap penganjuran FKJ 2022 kali ini dapat memberi manfaat yang menyeluruh kepada semua usahawan dan komuniti kraf dalam membantu menjana pendapatan yang tinggi. Diharapkan juga penganjuran FKJ 2022 ini menjadi destinasi kunjungan utama bagi pelancong domestik dan antarabangsa serta menjadi acara yang wajib dikunjungi oleh masyarakat setempat sempena musim cuti sekolah dan cuti perayaan.

Orang ramai dijemput berkunjung ke FKJ 2022 dan nikmati baucar bernilai RM30.00 dengan setiap gandaan RM100.00 pembelian produk kraf tempatan. – SM

Artikel berkaitan > Acara Mewarna Batik Teramai’ direkodkan oleh The Malaysia Book of Records

(Visited 122 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button