JenayahNasionalpilihan

Peniaga online rugi RM192,050 kerana mahu untung besar dalam tiga jam

GARA-GARA terpesona dengan pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh tiga jam akhirnya seorang wanita berusia 30-an kerugian RM192,050.

Peniaga online ini ditawarkan skim pelaburan bermula dengan RM1,500 yang membawa pulangan berjumlah RM21,000 dalam tempoh tiga jam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Baeyah Abdul Wahab mendedahkan perkara ini setelah mangsa membuat laporan polis semalam.

Dalam laporan itu, katanya, mangsa telah melihat iklan “XM_TRADER_MALAYSIA” di aplikasi Telegram.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Baeyah Abdul Wahab

“Mangsa kemudiannya menyertai kumpulan berkenaan dan setelah mendapat penerangan pelaburan berkenaan, mangsa mula membuat pemindahan wang permulaan RM1,500 ke akaun yang diberikan suspek pada 21 Julai lalu,” katanya ketika dihubungi Suara Merdeka.


Selepas itu Baeyah berkata, suspek memaklumkan kepada mangsa bawa telah berjaya mendapat keuntungan yang tinggi dan sudah boleh membuat pengeluaran.

Bagaimanapun, katanya, suspek meminta mangsa membuat wang pemprosesan untuk mengeluarkan wang keuntungan hasil pelaburan itu.

“Mangsa yang mempercayai kata-kata suspek itu kemudiannya telah memindahkan lagi wang bagi tujuan pengeluaran sehingga keseluruhannya berjumlah RM192,050 dalam tempoh seminggu mulai 21 Julai hingga 27 Julai lalu,” katanya.

Berikutan itu, kata Baeyah mangsa di sepanjang tempoh itu telah melakukan 17 transaksi dengan enam akaun bank yang berbeza.

“Ketika mangsa sedar mula ditipu dan mahu menuntut modal pelaburan miliknya, suspek memberikan pelbagai alasan sehingga mangsa membuat laporan polis pada 28 Julai (semalam),” katanya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu dan polis akan mengumpul maklumat pemilik akaun bank yang digunakan oleh suspek untuk transaksi pelaburan berkenaan. – SM

Artikel berkaitan > Lagi bot Kelas A ditahan tangguk siput secara haram

(Visited 57 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button