Politik

Zahid tuntut Tun M, Muhyiddin tarik balik tohmahan

JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengesahkan beliau telah menghantar dua surat tuntutan kepada Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam dua surat berasingan yang dilampirkan kepada media, Presiden UMNO itu menuntut kedua-dua pemimpin berkenaan menarik balik kenyataan yang dibuat terhadapnya kerana mempunyai elemen fitnah.

Melalui surat yang dikeluarkan oleh Tetuan Shahrul Hamidi & Hazir, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa, Dr Mahathir telah membuat tohmahan, berbaur fitnah terhadap anak guam mereka dalam sesi soal jawab selepas Pelancaran Aspirasi Pejuang bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Putrajaya, pada 23 Februari lepas.

“Susulan dari itu suatu Notis Tuntutan bertarikh 25.02.2022 telah di keluarkan dan di sampaikan kepada Yang Berhormat Tun Dr. Mahathir Mohamad secara kendiri, dan juga secara Pos Berdaftar.

“Sehingga kini kami masih belum menerima apa-apa jawapan daripadanya. Notis Tuntutan tersebut antaranya menuntut agar dalam tempoh tujuh hari, Yang Berhormat Tun Dr. Mahathir Mohamad menghentikan, memadam dan menurunkan penerbitan kenyataan tersebut.

“.. selain menuntut agar suatu permohonan maaf secara bertulis dan terbuka diterbitkan kepada Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, serta beraku janji tidak akan lagi membuat kenyataan yang sama,” menurut surat itu lagi.

Dalam satu sidang media pada 24 Februari lepas, Dr Mahathir mendakwa, Ahmad Zahid pernah datang berjumpa dengannya, untuk ‘berbaik-baik’.

Kata Dr Mahathir, dalam pertemuan yang berlaku sebelum beliau menjadi Perdana Menteri kali kedua, Ahmad Zahid bertandang ke rumahnya bersama beberapa orang lain.

Mengenai surat tuntutan kepada Muhyiddin pula, peguam Ahmad Zahid berkata, ia berkenaan tohmahan Ahli Parlimen Pagoh itu dan kenyataannya yang berbaur fitnah terhadap anak guam mereka melalui ucapannya pada 16 Februari, di Felda Tenggaroh, Johor.

“Daripada itu suatu Notis Tuntutan bertarikh 23.02.2022 telah di keluarkan dan disampaikan kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin @ Muhyiddin bin Md Yassin secara kendiri dan juga secara Pos Berdaftar.

“Sehingga kini kami masih belum menerima apa-apa jawapan daripadanya. Notis Tuntutan tersebut antaranya menuntut agar dalam tempoh 7 hari, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin @ Muhyiddin bin Md Yassin…

“..  menghentikan, memadam dan menurunkan penerbitan kenyataan tersebut, menuntut agar suatu permohonan maaf secara bertulis dan terbuka diterbitkan kepada Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, serta beraku janji tidak akan lagi membuat kenyataan yang sama,” menurut kenyataan itu lagi.

Sewaktu berucap di Majlis Pelancaran Jentera PN Bahagian Mersing, di Felda Tenggaroh 3, Mersing pada 17 Februari lepas, Muhyiddin dilihat mempersenda nama Presiden UMNO itu dengan memanggilnya ‘Zahid Komedi’.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, mendakwa Ahmad Zahid dan Datuk Seri Najib Tun Razak cuba meminta beliau untuk berbuat sesuatu tentang kes mahkamah yang mereka hadapi.

Katanya lagi, keengganan itu menyebabkan beliau hilang jawatan Perdana Menteri, selepas Ahmad Zahid menarik balik sokongan menyebabkan tugasnya untuk mengawal penularan COVID-19 dalam negara terhenti.

Mengulas mengenai dakwaan itu, Ahmad Zahid berkata, jika benar beliau marah kerana Muhyiddin tidak mahu melepaskan kes mahkamah, pastinya Muhyiddin tidak mampu jadi Perdana Menteri sehingga 17 bulan lamanya.

“Jika benar saya marah beliau tidak mahu melepaskan kes mahkamah pasti sudah lama Malaysia berdepan PRU15. (Nota: ini bukan ugutan tekan butang.)

“Malah saya cekal menghadapi pendakwaan terpilih yang dikenakan oleh kerajaan Pakatan Harpaan terhadap saya di atas prinsip berani kerana benar. Tidak sesekali saya sanggup menggadaikan UMNO apatah melompat parti mahupun berselingkuh dengan musuh untuk mengelak daripada didakwa,” katanya lagi.

(Visited 215 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button